Sunday, October 3, 2010

Dalam Memori (first love)

Mungkin ini hukuman
Yang harus ku jalani kerana
Melukakan hati, memungkiri janji
Walau bertahun telah ku lewati
Dirimu masih aku ingati
Entah di mana, bersama siapa
Entah hidup, entahkan mati.... namun
Semuanya masih kekal abadi
Tetap bersemi di dalam memori....
...................................................................................................

Mana mungkin dapat ku lupakan segala-galanya.  Walau pun sudah berbelas tahun ianya berlalu tapi semuanya masih segar diingatan.  Segalanya kerana janji itu.  Janji yang pernah ku ukir… janji yang telah ku mungkiri….

Janji itu ku lafazkan di saat mereka mencabar keutuhan cinta kita.  Aku tidak tahan mendengar kata mereka, aku tidak sanggup melihat engkau berduka….

“Abang, Lynn akan buktikan kata-kata mereka tidak benar.  Ini janji Lynn…”

“Abang percaya pada Lynn…. Abang harap Lynn tak akan tinggalkan Abang biar dugaan apa pun yang datang selepas ini…”

Lynn bimbang Abang yang akan tinggalkan Lynn, maklumlah sekarang ni pun dah ada calon menanti, kan…..”

Waktu itu mereka telah mencari calon yang sesuai untukmu.  Sebenarnya aku tidak mahu menjadi batu penghalang.  Kalau ada kesesuaian antara engkau dan dia, teruskanlah…tak usahlah fikirkan tentang diriku…Tahulah aku membawa hati…Asalkan engkau bahagia…Lagi pun beza usia antara kita enam tahun, engkau telah bekerja sedangkan aku masih di alam persekolahan…Tapi engkau tidak setuju…katamu, engkau tak akan memilih sesiapa selain aku…Selagi aku tidak dimiliki, engkau akan setia menungguku, engkau akan tetap menyintaiku…

Dugaan datang silih berganti… Segalanya berjaya kita rentasi…. Akhirnya, aku menerima perkhabaran gembira tetapi amat memberi kesan dalam perhubungan kita…. Kau dan aku harus menerima hakikat, jarak dan masa yang memisahkan….

“Empat tahun ? Ah, bukannya lama sangat masa itu… biar beribu tahun, biar dimamah usia, Abang akan tetap setia menanti Lynn… Cuma Abang bimbang Lynn yang akan berubah hati… maklumlah perbezaan antara kita dah terlalu jauh…. Siapalah Abang di sisi Lynn waktu itu…”

“Kenapa Abang cakap macam tu, Abang tau kan... Lynn bukannya materialistik, Lynn bukan memandang harta dunia, rupa, pangkat, kedudukan… yang penting keikhlasan, kejujuran dan kesetiaan Abang….”

Dan engkau telah membuktikan kesetiaanmu…. Akulah insan munafik itu….Tapi tahukah Abang, kenapa ku lakukan semua itu ? Berbagai cara aku cuba mempertahankannya… Aku tidak tahu apa lagi yang harus ku lakukan…Bukan daya ku untuk merentasi halangan sebesar itu.  Aku menjadi mangsa keadaan… Aku tersepit di persimpangan….Aku di minta untuk memilih…Maafkan aku, aku tidak mampu memilihmu walau pun itu yang ku mahu……Umpama menelan duri, aku terluka sendiri….Kalau tidak kuat semangatku, aku tidak tahu apa akan terjadi pada diriku…..

Abang, aku tahu kau tak akan menerima alasanku.  Apa pun yang ku katakan, kau tak akan terima dengan mudah….tapi aku tidak mahu kau menanti dan terus menanti sedangkan segalanya seakan tiada kepastian…. Sengaja aku mempertemukan dia denganmu.  Aku menyatakan yang dialah pilihanku …. Walaupun sebenarnya aku tidak pasti perasaanku terhadapnya…

Ku nyatakan segalanya telah berakhir tapi kau tidak mahu kehilanganku … Katamu, selagi aku tidak dimiliki, engkau masih mempunyai peluang. Aku meminta kau menerima kenyataan itu, aku minta kau menganggapku sebagai adikmu….engkau akur dengan kemahuanku walaupun ku tahu kau tidak pernah menganggapku begitu….Masih ku ingat bait-bait lagu itu, “If there’s really no chance to start once again, I’m still loving you….”  - Scorpion

Tamat empat tahun pengajianku di menara gading, ku utuskan kad undangan …. Zalimnya aku rasakan tindakan ku tapi apa lagi yang harus ku lakukan… Aku diberitahu engkau hadir di hari persandinganku tapi aku tidak menyedari kehadiranmu.  Selepas itu aku tidak mendengar lagi berita tentang dirimu….

Sesungguhnya aku teramat kesal dengan apa yang terjadi…. Aku terpaksa mengalah dan mengakui kebenaran kata-kata mereka dulu…Aku tidak pasti bagaimana engkau menghadapi mereka tapi aku pasti engkau akan meletakkan kesalahan itu ke atasku seratus peratus kerana kau tidak berada di tempatku…..Engkau tidak merasakannya….

Biarlah ku tanggung segala kepedihan itu.  Cinta tidak semestinya bersatu, terimalah hakikat tiada jodoh di antara kita.  Andai ada kemaafan, ampunkanlah diriku….Selagi ada hayatku, izinkan aku terus mengenangmu kerana segala-galanya masih kekal abadi di dalam memori hidupku…….

No comments:

Post a Comment