Tuesday, October 11, 2011

Biar Aku Yang Berubah

Nampaknya kau sudah selesa dengan apa yang sedang kau lakukan.  Kau ulangi kesalahan yang sama.  Kau tidak pernah berubah dan aku rasa kau memang tak nak berubah.  Ingatlah, tidak semua orang boleh mengikut cara kita, kadangkala kita kena ikut cara orang lain. Jika kita tidak boleh menghormati orang lain, tidak salahlah jika orang lain tidak boleh menghormati kita.  Aku rasa tindakannya terhadapmu memang sesuatu yang wajar, kena pada tempatnya...

Sepatutnya aku tidak perlu masuk campur dalam perkara ini.  Aku tidak perlu mengambil tahu, tidak ada kena mengena dengan aku pun.  Tapi apa yang kau lakukan pasti akan sampai ke telingaku. Aku terima setiap insan punya kelemahan tapi di sebalik kelemahan itu kita punyai kekuatan, asal saja kita mahu berubah. Orang kata hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...

Selepas kejadian itu kita semakin jauh.  Aku pun tidak pasti apa sebabnya.  Aku rasa aku langsung tidak menyentuh tentang perkara itu.  Dalam hatiku ingin saja bertanya tetapi melihat sikapmu aku diamkan saja.  Aku menahan segala rasa tetapi dari hari ke hari, sikapmu semakin ketara. Mungkin sebab kau sudah ada  tempat lain untuk mengadu, untuk bercerita.  Aku tidak diperlukan lagi sebab kau tahu dalam perkara begini aku tidak akan bersimpati.  Pada aku senang saja...berani buat, berani la tanggung.  Cuma satu yang kau perlu tahu, aku cukup sedih dengan apa yang kau lakukan ini.  Duhai hati, pandai-pandailah kau menyisih ke tepi kerana dia sudah ada pengganti..Sedarlah, engkau tidak layak lagi menjadi temannya di sisi...

Aku sudah fed-up !!! Teruskanlah bersikap seperti itu..Kalau kau tak nak berubah, biar aku yang berubah.  Tapi jangan salahkan aku atas apa yang akan berlaku selepas ini... Keras hati ? Ya, itu memang sikapku tapi jangan lupa, engkau pun sama.  Egomu terlalu tinggi.  Selama ini aku yang selalu mengalah untuk menyelamatkan keadaan tapi sampai bila aku mampu bertahan ?

Aku tidak pernah membencimu tapi aku benci dengan sikapmu.  Kalau selama ini aku menyusahkanmu, maafkan aku. Cuma satu yang aku ingin kau tahu..I am what I am..I may be not the 'perfect person' that you are looking for, not even the 'best' among others..but..surely I'm a person who will always miss and care about you...Aku ingat segala kebaikan yang pernah kau lakukan...dan, aku terhutang budi tapi biarlah hutang budi itu ku bawa mati sahaja... Maafkan aku...

Thursday, August 25, 2011

Salam Aidilfitri 1432H


Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk semua rakan blogger yang sudi bertandang ke blog Lynn.  Semoga raya tahun ini mencipta satu lagi kenangan terindah dalam hidup kita.  Kepada yang akan balik kampung dengan kenderaan sendiri, hati-hati memandu. Kepada yang naik kenderaan awam pula elok-elok duduk dalam kenderaan tu..hehe...Semoga  selamat sampai ke destinasi dan dapat beraya dengan ahli keluarga tersayang.

Kepada yang tak dapat balik beraya dengan keluarga kerana menjalankan tugas, sabarlah. Balik la selepas raya nanti. Sambil-sambil tu dengarlah lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, gerenti amat terasa sayu dan pilunya..hehe..saja nak mengusik sekali sekala...

Di kesempatan ini Lynn ingin meminta ampun dan maaf kepada semua jika Lynn ada terkasar tulisan  di dalam mana-mana entri blog ini atau semasa blogwalking.  Harap sudi maafkan Lynn...

Hari Raya Hari Bahagia
Disambut Dengan Bersukaria
Tangan Dihulur Maaf Dipinta
Semoga Terampun Segala Dosa.

Monday, August 22, 2011

Cukup Sampai Di Sini

Maaf, cukuplah sampai di sini
Telah ku lontar perasaan itu ke tepi
Kerana yang ku terima hanyalah mimpi
Ketenangan tidak pernah aku miliki
      Sepanjang waktu aku diburu keresahan
      Setiap ketika aku kegelisahan
      Sikapmu sering membuatku tertekan
      Hingga selalu terjadinya pergaduhan
Kau tak pernah berubah
Semua perkara kau ambil mudah
Selalunya akulah yang terpaksa mengalah
Tapi kini aku sudah lelah
      Telah banyak peluang kuberi
      Tapi tak pernah kau ambil peduli
      Jadi biarlah aku akhiri
      Maafkan aku atas tindakan ini.
Semoga kau bahagia dengan caramu....

Sunday, July 17, 2011

Terima Kasih

Terima kasih, tuhanku
Hingga ke saat ini
Aku masih diberi kesempatan
Untuk menghirup udaramu
Untuk bernafas dibumimu
       Terima kasih, tuhanku
       Hingga ke hari ini
       Aku masih diberi peluang
       Untuk merasai indahnya ciptaanmu
       Untuk menikmati segala pemberianmu
Pahit dan manis, tawa dan tangis
Itulah irama hidup, ibarat putaran roda
Sekejap di atas sekejap di bawah
       Terima kasih, Tuhanku
       Kerana aku diberi sebuah perasaan
       Untuk menikmati sebuah kebahagiaan
       Untuk merasai sebuah kekecewaan
       Untuk mengerti nilai kasih sayang
       Dalam mewarnai sebuah kehidupan

Sunday, June 19, 2011

Aku Ingin Kau Tahu

Dia tetap seperti dulu. Sifat pendiamnya itu membuatkan aku sendiri tidak tahu apa yang harus dibualkan dengannya. Sebenarnya aku pun begitu, mewarisi sifat pendiamnya itu. Aku tidak pandai memulakan bicara bila berada di kelompok kawan-kawan. Dan sememangnya aku tidak mempunyai ramai kawan. Yang ada hanya seorang dua teman rapat, tempat aku berkongsi masalah, di dalam suka mahu pun duka.

Tapi aku sangat menghormati dia. Dia sentiasa berusaha untuk memenuhi setiap keperluanku. Walaupun gajinya tidak seberapa, dia sanggup membuat pekerjaan lain selepas waktu bekerja untuk menampung kekurangan yang ada. Kalau anda sudah membaca entri awalku dulu "Secebis Kisah Kehidupan" anda akan lebih mengerti tentang kisah awal kehidupanku.

Ayah, sudah tercapai impianmu untuk melihat kejayaanku. Telah ku tebus segala kepahitan yang pernah kita rasakan dulu. Walaupun tidak berjawatan tinggi tapi aku mempunyai pekerjaan untuk menampung kehidupan. Kini, aku cuma mahu melihat kau bahagia dan hanya senyumanmu yang ingin kutatap. Sudah tiba masanya untuk kau berehat setelah bersusah payah membesarkan kami adik beradik.

Walaupun kelihatannya kami lebih rapat dengan ibu tetapi kasih sayang kami tidak pernah berbelah bagi. Cuma mungkin kerana ibu lebih banyak bicara, kami lebih senang berbincang dengan ibu. Lagipun, ayah tidak suka membuat sebarang keputusan selagi belum mendapat persetujuan ibu. Ayah lebih banyak mengalah demi menjaga keharmonian keluarga.

Sempena Sambutan Hari Bapa tahun ini, ketahuilah ayah bahawasanya anakmu ini sangat mengasihimu. Walaupun tidak banyak yang mampu aku bicarakan tapi aku ingin kau tahu betapa aku selalu merindukanmu  di kejauhan ini. Aku tetap mengingatimu...selalu... Selamat Hari Bapa, Ayah. Terima kasih atas segala pengorbananmu...

Friday, June 10, 2011

Maafkan Kesilapanku

Rupanya telah dua minggu dia memendam kemarahan itu. Sesungguhnya aku tidak tahu. Mungkin kerana aku tidak peka pada keadaan. Memang fikiran manusia tidak sama. Masing-masing ada pendapat sendiri. Betul pada kita, tak semestinya betul pada orang lain. Kebetulan aku ada perkara lain yang harus diberitahu kepadanya. Disebabkan masa itu cuti persekolahan, aku hanya menghantar mesej sahaja. Dan ini merupakan kesilapanku yang kedua. Ternyata tindakan ku itu menambahkan lagi kemarahannya.

Dia meminta aku menangguhkan dulu perancanganku. Aku yang masih tidak mengerti tentang keadaan itu, membuat temujanji untuk bertemu dengannya. Tapi sebenarnya dalam hatiku, aku dapat merasakan sesuatu. Pagi itu aku ke biliknya. Dia seperti biasa, dengan kesibukannya. Lima minit aku menunggu dia menyiapkan tugasnya sambil menunggu teman yang sepatutnya bersamaku menemuinya pada hari itu. Temanku itu sedang menyediakan surat-surat yang sepatutnya ditandatangani olehnya.

Dia  mula menyatakan apa yang terbuku di hatinya. Dia tanya apa kesalahan yang telah ku lakukan baru-baru ini. Serius, aku tak tahu. Bila dia terangkan, aku mula mengerti. Dia merasa aku mengenepikannya sebagai seorang ketua, membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepadanya. Pada aku, itu hanya aktiviti mingguan biasa. Cuma aku menyelitkan satu agenda yang dia rasa aku membelakangkannya. Salahnya aku kerana tidak memberitahu dia tentang perkara itu. Dan aku tidak menjemput dia bersama sedangkan aku mengundang semua pentadbir lain di pejabatnya. Tetapi sebenarnya hari itu memang dia tiada di sekolah. 

Apa yang mampu ku lakukan hanyalah meminta maaf. Aku tahu dia menegur untuk kebaikan. Aku memang menghormatinya sebagai seorang ketua cuma sebagai manusia, aku tidak terlepas dari membuat kesilapan. Aku harap setelah diluahkan, dia tidak menyimpan kemarahan itu lagi..Aku harap dia maafkan aku...

Wednesday, May 18, 2011

Terima Kasih Cikgu

Sambutan Hari Guru baru saja berlalu. Teringat aku pada guru yang pernah mengajarku dulu. Di sini ingin aku paparkan kisah kenapa aku tidak lagi membuka tudung bila kemana-mana. Semuanya kerana dia, dia seorang ustazah yang sudah lupa aku pada namanya tapi tetap kekal diingatanku.

Aku bersekolah di sekolah yang semua pelajarnya adalah perempuan. Waktu itu aku di Tingkatan Lima. Biasalah hujung-hujung tahun, hari-hari terakhir persekolahan...masing-masing nak tunjuk lawa. Aku tidak terkecuali, di sekolahku aku mendapat gelaran model kerana gaya jalan 'cat walk' ku itu.

Suatu hari, aku dan kawanku menghantar buku latihan ke bilik guru.. Saja menawarkan diri, sebenarnya nak ronda-ronda. Di bilik guru itu ada ustazah itu dan beberapa orang guru. Bila aku letakkan buku di atas meja yang kebetulan di sebelah mejanya, tiba-tiba dia memandang aku seperti sedang melihat sesuatu yang aneh.

"Lynn ke ni...hampir tak kenal cikgu...cantiknya Lynn ni bila tak pakai tudung..cantik betul la..!!!" matanya tak berkelip-kelip memandangku. Masa tu cikgu-cikgu lain yang ada di situ tersenyum-senyum memandangku. Aku mula serba salah, tak tau nak cakap apa. Hanya senyumana kelat yang mampu aku berikan. Cepat-cepat kami beredar dari situ. Bimbang banyak lagi yang akan dikatakannya.

Dia tak marah pun tapi kata-kata dan caranya itu cukup membuat aku terfikir. Betullah, kecantikan asli bukan pada paras rupa tapi dari hati. Cantiknya rupa hanya untuk dipandang tapi kecantikan hati budi itulah yang akan dikenang. Terima kasih cikgu kerana menyedarkanku...

Sunday, May 8, 2011

Maafkan Aku Ibu

Ibu, maafkan anakmu
Mungkin ada tingkah lakuku
Yang mengguris hatimu
Banyak yang ingin ku lakukan
Tapi tidak mampu aku laksanakan
       Aku ingin ibu mengerti 
       Keadaan yang sedang aku hadapi
       Kadang-kadang menyiksa diri
       Ada kalanya menangis sendiri
Dalam usiamu sekarang
Hanya anak-anak yang kau fikirkan
Tapi aku di kejauhan
Sibuk dengan pelbagai urusan
       Dalam setahun hanya sekali
       Bertemu ibu hanya beberapa hari
       Tapi kadang-kadang terjadi keadaan
       Tidak seperti yang diharap-harapkan
Bukan tiada rasa rindu
Hati meronta ingin bertemu
Terutama bila tiba hari ibu
Terasa ingin berada di sampingmu
       Aku ingin mendengar bicaramu
       Luahan juga keresahan hatimu
       Sepertimana waktu dulu
       Akulah pendengar setiamu
Ibu, anakmu ini akan terkilan
Jika tiba-tiba terjadi kehilangan
Takkan mampu ku terima kenyataan
Andai tak sempat ku baiki keadaan
      Ya Allah, berikanlah aku ruang
      Peluang dan juga sedikit kekuatan
      Untuk ku huraikan segala kekusutan
      Ku harap aku masih diberi kesempatan

Thursday, March 31, 2011

Di Persimpangan Ini

Bila tiba di persimpangan ini
Kita carilah jalan sendiri
Perhubungan ini tidak perlu dipertahankan lagi
Kerana ianya semakin menyeksa diri
       Pendapat kita sering berbeza
       Pandangan kita selalu tak sama
       Tiada ruang untuk bersuara
       Tiada peluang untuk berkata-kata
Sudah lama memendam rasa
Ku simpan sahaja rasa sebak di dada
Rasanya kini sudah tibalah masa
Untuk lepaskan segala beban yang ada
       Semakin lama kita bersama
       Semakin pedih rasa di jiwa
       Tak ingin hati terus terluka
       Tak sanggup lagi menanggung derita
Kerana tidak sehaluan lagi
Leraikanlah ikatan yang merantai diri
Apa yang digenggam selama ini
Sama-samalah kita lepaskan pergi
       Apa yang terjadi usah dikesali
       Tak semua yang diingini dapat dimiliki
       Mungkin ada hikmah tersembunyi
       Semoga bahagia sedang menanti

Thursday, March 17, 2011

Jangan Ada Benci


Telah bertahun kita bersama
Melewati hari-hari dengan pelbagai rasa
Adakalanya suram terkadang ceria
         Mungkin sampai di sini saja
         Episod kita sudah di penghujungnya
         Senyum saja pada dunia
         Walau hati di dalam merintih hiba
Selama mana kita akan berduka
Suatu masa pasti hilang jua
Setelah hakikatnya kita dapat terima
Apa yang terjadi ada hikmahnya
         Kita kan harus tabah
         Tidak perlu tunduk mengalah
         Apalah sangat dugaan ini
         Jika dibandingkan cerita dunia 
Apa yang ada hanya pinjaman 
Dalam meniti sebuah perjalanan
Tiba masa harus dipulangkan
Yang kekal pada kita hanyalah kenangan
         Cuma satu yang kuharapkan
         Buangkanlah rasa yang terkilan 
         Jangan ada walau secebis kebencian
         Salah silapku mohon dimaafkan

Monday, March 14, 2011

Inilah Kisahnya (Part 3)

Kenapa ye,
Kenapa aku harus melalui situasi begini
Apa yang telah kulakukan
Sehingga aku harus menanggung semua ini ?
Ya Allah,
Ampunilah dosaku
Sesungguhnya aku lemah
Untuk menghadapi keadaan ini
Berilah aku sedikit kekuatan
Agar aku terus bisa berdiri
Untuk menghadapi setiap ujianmu...

**********************************************************
Kenapa dik, kenapa jadi begini. Masing-masing diam. Masing-masing bisu. Akak tau, adik nak akak mulakan dulu. Seperti yang lepas-lepas, akak yang mengalah. Tapi itu dulu. Tidak untuk kali ini. Sedihnya akak rasakan keadaan ini. Tapi adik macam tak kisah.  Macam tak ada apa-apa yang berlaku. Tapi akak tahu. Dalam hati adik, perasaan benci meluap-luap pada akak, kan ?

Kebisuan adik menambahkan kesakitan ini. W/pun akak tak cakap, sekurang-kurangnya akak tulis. Akak jelaskan apa yang terbuku di hati akak tapi adik langsung tak nak cakap apa-apa. Bila sama-sama berada di sini, akak rasa kaki tak jejak ke bumi. Sebelum ni tempat ini tak pernah sunyi tapi sekarang segalanya berubah. Sukarnya untuk menghadapi keadaan ini. Tapi kita profesional, kan. Jangan libatkan soal kerja dengan soal peribadi. Jangan sampai sesiapa tahu, apa yang sedang berlaku.

Entahlah, akak rasa akak kena belajar lakukan semuanya sendiri. Biarlah akak uruskan segalanya. Lagipun sampai bila akak nak bergantung pada adik. Lama-lama akak akan kehilangan adik jugak. Hujung-hujung tahun begini, biasalah. Akan ada perubahan dalam organisasi.

Akak dengar nama adik disebut-sebut untuk jawatan itu. Jawatan yang telah lama ingin diberikan kepada adik, walaupun adik dah tolak berkali-kali. Akak dah tak larat nak dengar. Akak dah puas menahan sesak di dada bila mendengar berita itu. Takutnya akak kalau kehilangan adik. Tapi apa yang mampu akak lakukan.

Kalau inilah yang tersurat, kalau inilah suratan takdir, akak hanya mampu berserah. Adik pergilah. Akak doakan adik berjaya. Akak memang yakin adik boleh lakukannya. Di mana pun adik berada, organisasi akan sukses. Tengok saja, berapa banyak program yang telah adik jalankan. Semuanya berjalan lancar. Contoh paling dekat, organisasi kita sendiri. Walau akak ketuanya, program-program yang besar tu, adik yang jalankan.

Biarlah akak di sini. Akak akan lakukan setakat yang termampu. Walaupun nanti kita dah tak bersama dalam organisasi ini, akak akan tetap ingat. Akak akan kenang segalanya. Akak takkan pernah lupa pada adik akak walaupun adik tak pernah kisah apa yang berlaku. Sebab adik ada segalanya. Adik punya segala kelebihan. Tak ada apa pun yang kurang kalau akak tiada di sisi adik. Tak pe lah dik, akak sedar siapa diri akak. Terima kasih atas apa yang telah adik berikan kepada akak. Terima kasih sekali lagi...

Wednesday, March 9, 2011

Inilah Kisahnya (Part 2)

Tiba-tiba saja dia aktif dalam Facebook.  Walaupun aku memang aktif tapi aku tak pernah online. Namun aku tahu tiap-tiap hari dia buka FB, perkara yang jarang dilakukannya sebelum ini. Dari status dalam FB nya aku dapat tahu yang dia ada masalah.

Aku tahu tentang kesakitan yang dialami oleh ayahnya. Dia pernah ceritakan kepadaku. Tapi aku tidak tahu yang sepanjang dua minggu dia tiada di sekolah kerana berkursus, pada masa yang sama ayahnya telah dimasukkan ke wad dan kini sudah tiada harapan untuk sembuh.  Hanya menunggu masa. 

Mendapat tahu tentang berita itu, aku tersentak. Tak tahu bagaimana hendak ku ceritakan perasaanku waktu itu. Seolah-olah tidak jejak di bumi nyata, seolah-olah berada di awang-awangan. Sepatutnya dalam keadaan dia begitu, aku memberinya kekuatan, redakan kegelisahannya. Tapi sebaliknya, aku pula yang membunuh semangatnya.  Aku tambahkan kesengsaraannya. Ya Allah, apa yang telah ku lakukan...!!!

Aku hanya mampu meminta maaf. Itu pun melalui mesej di dalam inbox nya. Mesej pertama dia balas. Dia pun meminta maaf kerana bersikap tidak adil terhadap aku, katanya. Bila aku hantar mesej kedua, dia diam...membisu tanpa balasan.

Aku tidak boleh berhadapan dengannya.  Tidak boleh memandang wajahnya. Airmataku menjadi terlalu murah harganya. Bila-bila masa saja  ia boleh gugur. Tapi aku tidak mahu dia melihat aku menangis. Aku sentiasa mencari ruang untuk tidak bertemu dengannya. Untuk seketika itu, aku sanggup menjadi pelarian.

Dalam hatiku, perasaan marah dan sedih bercampur baur. Sesungguhnya aku masih terkilan. Kenapa dia tidak mahu menceritakan perkara ini kepada aku sendiri. Kenapa mesti aku tahu dari FB ? Susah sangat ke untuk memberitahu aku ? Kenapa sebelum ini boleh bercerita ? Kata nak balas luahan tu tapi kenapa setelah berminggu-minggu aku tunggu, ini yang aku dapat ???

Sunday, March 6, 2011

Inilah Kisahnya (Part 1)

Menerima smsnya tengah hari itu, aku lupa seharian aku tak makan. Tapi anehnya, langsung tak rasa lapar. Bila teringat petangnya, aku cuba makan tapi tak boleh nak telan.

Aku akui salahku kerana menulis dalam keadaan aku sendiri sedang tertekan. Ada saja perkara tentangnya yang sampai ke telingaku. Aku marah kerana dia hanya berdiam diri bila dipersalahkan. Tetapi aku bukan marahkan dia seratus peratus. Salahnya sedikit saja. Aku sebenarnya marahkan keadaan, yang sama-sama kami tak boleh elakkan.

Cuma aku hairan juga, kenapa dia lebih banyak mendiamkan diri.  Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Biasanya apa-apa yang berlaku, dia ceritakan padaku.  Sikap bisunya membuatkan aku geram. Bukan aku tak nak bincangkan perkara ni, tapi aku tak boleh nak cakap. Mulutku seakan terkunci. Aku tahu dia sedar akan perubahanku tapi dia tetap dengan sikapnya. 

Dalam keadaan begini aku lebih suka menulis dari bercakap. Tapi dia tidak mengerti apa yang tersirat di hati.  Lain yang cuba aku sampaikan, lain pula penerimaannya.  Mungkin  terlalu kasar bahasaku di dalam surat itu.

 ------------------------------------------------------------------------------------------------------
SMS 1          -   "Guest What ??? You have just make myself WORST !!! 
                          Your letter will be reply soon..."
  
Aku Balas    -    "It's not a letter, k...Itu luahan hati yang marah. 
                          Tak perlu membalasnya. Kalau tak puashati, cakap je.." 

SMS 2          -    "Same goes to you..."

Aku Balas    -    "Tak sama !!! Akak dah biasa menulis..."

------------------------------------------------------------------------------------------------------
Memang begitulah dia. Bila tiba saat-saat sukar sebegini, dia lebih suka menggunakan Bahasa Inggeris.  Aku faham maknanya tapi tak pandai nak susun ayat dalam Bahasa Inggeris. Takut tak tercapai maksud. Esoknya, aku utuskan luahan yang kedua. Aku jelaskan segala-galanya dengan bahasa yang paling mudah supaya dia boleh faham apa yang cuba aku sampaikan.
 -----------------------------------------------------------------------------------------------------
SMS 3          -    "Belum sempat balas luahan pertama, luahan kedua pula 
                           menyusul.  Berilah saya masa.
                           Saya pun ada luahan yang perlu saya sampaikan.  
                           Saya pun ada perasaan, bukan tunggul kayu mati..."

Aku Balas    -    "Terpulang..."

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Waktu itu, tinggal seminggu lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan.  Kawan-kawan mula sibuk dengan agenda makan-makan, maklum la lepas ni dah tak boleh makan siang.  Aku menerima SMS itu semasa berada di dalam kereta Fiza. Dia ingin belanja aku dan Siti makan tengah hari tu.  Tapi selepas membaca SMS itu, seleraku hilang.  Makanan yang ku pesan tidak habis ku makan. 

Sudah masuk dua minggu aku menunggu.
"Mana luahan yang adik nak bagi  akak tu ? Tak payah lah dik, membazir je, penat akak tunggu.  Tak de masa ke atau tak tau nak cover diri ? Agaknya betul la apa yang akak katakan dalam luahan yang pertama tu, kan ?" Ingin saja aku utuskan perkataan ini tapi aku tidak mahu mengeruhkan keadaan. Tapi dengan  sikapnya itu aku jadi geram. Elok-elok aku dah cool, perasaan marah kembali lagi.

(To be continued)

Sunday, February 27, 2011

The Reason - Hoobanstank

 (Berkaitan dengan entry sebelum ini)


I'm not a perfect person
There's many things I wish I didn't do
But I continue learning
I never meant to do those things to you
And so I have to say before I go
       That I just want you to know
       I've found a reason for me
       To change who I used to be
       A reason to start over new
       And the reason is you
I'm sorry that I hurt you
It's something I must live with everyday
And all the pain I put you through
I wish that I could take it all away
And be the one who catches all your tears
       That's why I need you to hear
       I've found a reason for me
       To change who I used to be
       A reason to start over new
       And the reason is you [x4]
I'm not a perfect person
I never meant to do those things to you
And so I have to say before I go
       That I just want you to know
       I've found a reason for me
       To change who I used to be
       A reason to start over new
       And the reason is you
I've found a reason to show
A side of me you didn't know
A reason for all that I do
And the reason is you...


**************************************************
Terdiam aku mendengar lagu itu. Sebuah lagu lama tapi amat menyentuh jiwa bila aku hayati senikatanya.  Sudah tiga hari lagu itu dipasang tanpa henti dari laptopnya, berselang seli dengan lagu Never Say Goodbye - Bon Jovi. Aku tak boleh berada lama di situ walaupun banyak kerja yang harus ku laksanakan. Aku tidak mahu dia melihat airmata yang mula bergenang di kelopak mata.

Sehari dua ini aku nampak perubahannya. Kalau betul dia ingin berubah, aku bersyukur pada Tuhan yang telah membuka pintu hatinya. Tapi aku tidak suka jika dia berubah kerana aku. Aku mahu dia berubah atas kesedarannya sendiri. Sedar bahawa dia perlu berubah untuk kebaikan dirinya sendiri.

Hari ini sudah masuk minggu kedua kami tidak bertegur sapa. Ya Allah, ampunilah dosaku kalau aku bersalah cuba memutuskan tali silaturrahim. Tapi aku tidak kuat. Setiap kali memandang wajahnya, aku rasa sedih. Aku rasa ingin menangis. Macam mana aku hendak menegurnya ? 

Aku tahu dari dulu dia begitu. Selagi aku tidak mulakan, dia takkan memulakannya. Tapi kali ini biarlah. Aku rasa sudah cukup aku menanggung.  Tunggu dan lihat sajalah apa yang akan berlaku...

Tuesday, February 22, 2011

Salahkah aku ?

( Berkaitan dengan entry  "Relakanlah" dan "Bicara Hati"

Kadangkala,
Hati ini sukar dimengertikan
     Dalam perjalanan
     Kita dipertemukan
     Entah macam mana
     Lahirnya perasaan sayang
     Sedangkan aku tidak pernah meminta
     Malah tidak pernah menduga
     Begini jadinya.....
Hari demi hari
Aku cuba berlagak biasa
Aku cuba menjauhimu
Tapi aku tidak berdaya
     Semakin ku lari
     Semakin dekat engkau padaku
     Semakin aku cuba melupakan
     Semakin aku mengingatimu.....
Aku mengambil berat tentang dirimu
Aku tidak tahan mendengar 
Yang tidak baik mengenai dirimu
Aku takut kehilanganmu
Walau ku pasti ia akan terjadi
Suatu hari nanti.....
     Akhirnya, aku tewas dengan perasaan ini
     Aku cuba membuat kesimpulan sendiri
     Aku tidak mampu lari darimu
     Dan, aku rasa aku tidak bersalah
     Kerana sebenarnya aku menganggapmu 
     Sebagai saudaraku.....
Aku pasti,
Situasi ini hanyalah sementara
Ianya akan hilang jua
Ditelan masa.....

****************************************************

Kini, sudah tibalah masa itu 
And...it's really hurt...inside...
Aku harus menerima hakikat kehilangannya.

Sekarang kau bebas !!! Terbanglah ke mana kau suka, buatlah apa yang kau mahu.  Aku takkan peduli lagi.  Aku takkan bertanya dan kau tak perlu jelaskan apa-apa. Aku cukup mengerti dengan apa yang terjadi.

Lynn, jangan nangis. Tahan airmata tu. Airmata takkan dapat selesaikan segala-galanya. Kuatkan semangat, Lynn. Usah biarkan apa yang berlaku, melemahkan semangatmu.  Kau boleh lakukannya. Senyum Lynn, senyum...

Friday, February 18, 2011

Bicara Hati

Dia tanya aku  "Apa nak terasa ?" Ha..ah.. bodoh betullah. Kenapa pulak orang lain yang dikata, aku pulak yang terasa. Dia tak ada kena mengena dengan aku pun. Adik bukan, sedara pun bukan.  Sepatutnya biarkanlah. Dia nak jatuh ke, tunggang terbalik ke, aku peduli apa ? Sepatutnya aku buat ajelah kerja sendiri, kerja aku pun bukannya sikit.  Dia ? Ikut dialah, dia tanggunglah apa yang dia buat...

Tapi, sanggupkah aku ? Mampukah aku menahan telingaku mendengar orang mengata dia ? Kalau boleh, aku nak pekakkan telingaku. Tak ingin mendengar sebarang komen orang terhadap dirinya. Tapi apa-apa berkaitan dia, mereka ceritakan padaku. Apa-apa mengenai dia, mereka tanya aku. Alasannya, susah nak jumpa dia…

Sebenarnya dia yang aku kenali, tidaklah begitu sikapnya. Cuma dia kurang peka, suka bertangguh. Yang salah tu, tetap salah jugaklah. Dalam diri kita ni, bukannya semuanya buruk, bukan semuanya baik. Tapi biasalah manusia, satu keburukan yang dilakukan boleh menghilangkan seribu kebaikan yang pernah dilakukan…

Dia pernah menguatkan semangatku dan mengembalikan kekuatan di saat aku hampir tenggelam menahan segala kata yang menyakitkan. Sebenarnya itu memang tugasnya juga, menjadi tanggungjawabnya juga menaikkan nama organisasi. Tapi tanpa keberaniannya, tanpa kerjasama dia, mungkin segalanya takkan terjadi.  Sejak itu, aku telah menganggapnya seperti adikku sendiri. Biasalah kan, walau macam mana marah pun kita pada adik, jika orang lain mengata dia, pasti kita terasa….

Aku ? Bukan aku tak boleh faham dia, bukan aku tidak memahami keadaannya sekarang tapi kadang-kadang aku geram dengan sikapnya. Kerjaku berkaitan dengan kerjanya. Selagi kerjanya tak selesai, ia akan menjejaskan pekerjaanku. Tapi, dalam keadaan sekarang gilalah aku, kalau mahu dia menyiapkan tugasnya itu. Sebenarnya bukan itu….

Tapi yang nyatanya, hatiku terguris. Puncanya kecil sahaja. Sekali ianya terjadi, aku masih ok. Tapi kali yang kedua, hati mula terdetik…zasss !!! Aku gagal mengawal emosiku. Sepatutnya aku tidak memikirkannya. Dia memang begitu. Mungkin dia lupa, mungkin tak sengaja. Atau mungkin dia tak terfikir tentang itu. Perkara kecil saja…

Aku telah berjanji, takkan marahkan dia lagi.  Aku cuba untuk tidak mempamirkan perasaan yang bermain di fikiranku. Tapi dia dapat membacanya. Sebenarnya aku ingin biarkan ia berlalu begitu saja. Sehari dua aku ok lah. Perkara kecil saja. Tak patut dia tau tentang itu, terutamanya dalam keadaan dia sekarang. Tapi segalanya telah terjadi, perkataan yang ku gunakan mungkin membuat dia tersentuh…

Tengok apa dah jadi. Masing-masing berdiam diri. Nak berbincang ? Jauh sekali. Apa nak buat, salah sendiri. Sebenarnya sedih, sedih dengan apa yang terjadi. Aku malu sangat kat dia. Tapi apa yang terjadi, sudah pun terjadi. Apa nak dikesalkan lagi….

Kau tak akan mendapat sebarang teman jika kau mengharapkan insan tanpa kesalahan…..”

Wednesday, February 16, 2011

Relakanlah

Yang bermula...sebuah pertemuan
Yang terjalin...sebuah kemesraan
Yang terbina...ikatan persahabatan
Tapi kini,
Yang terjadi...sebuah perpisahan
Yang tertinggal...sebuah kerinduan
Yang tersisa...secebis kenangan
Namun, 
Jika pertemuan itu telah ditakdirkan
Perpisahan ini juga suatu suratan
Relakanlah...

**************************************
Dia telah pergi.  Aku yang membuang dirinya. Aku yang sengaja menjauhinya. Tapi mengapa aku merasa sedih ? Mengapa aku terasa kehilangan ?  Tiada kesalahan yang dilakukan, cuma mungkin aku yang bersalah kerana menyayanginya. 

Aku pun tidak tahu, mengapa harus hadir perasaan itu dalam hatiku. Istimewa sangatkah dia ? Entah, aku rasa dia sama saja dengan orang lain.  Cuma mungkin caranya, atau mungkin caraku. Terlalu banyak kenangan tercipta, sukar untuk menghapuskan segala-galanya. Mungkin dengan menjauhinya, perasaan itu akan terhakis...tapi...mungkinkah ?

"Tenanglah kau hati,
Jangan diganggu konsentrasiku..."

Sunday, February 13, 2011

Aku Ingin Kembali

Apa yang telah terjadi ?  
Kenapa tiba2 sahaja blog ini kutinggalkan sepi tanpa bicara ? 
Bencikah aku pada blog ini ?  
Oh, tidak sama sekali  !!! 

        "Mestikah bersedih
        Pada hakikat
        Dikurniakan padamu
        Sedangkan cita-citamu
        Memperjudikan kasih sayang..."

Terdengar bait-bait lagu ini dari blog seorang sahabat...dan ianya membuat ku berfikir...Ya, aku tidak harus bersedih, aku tidak harus mengaku kalah...aku harus menjadi kuat...

Aku ingin kembali.. kembali menulis, mencurahkan apa yang terbuku di hati.. Akan ku teruskan minatku dalam bidang penulisan ini...

Sahabat-sahabatku, sudilah kiranya memberikan aku semangat untuk aku terus bertapak di sini....