Friday, November 26, 2010

Menyayanginya...


(Khas buat Adik M...)

Bersama pertemuan itu
Timbul bibit-bibit kemesraan
Dimulai dengan persahabatan
Kini berbunga sebuah harapan
Adik, selagi ada yang kau sayangi
Selagi ada yang kau kasihi
         Selagi itulah hidupmu bererti…..
Tidak perlu engkau menafikan
Takkan kau terdaya menolaknya
Bukan salah dirimu kerana perasaan itu
Hadir tanpa dipinta, lahir tanpa disedari
Menyayangi dan mengasihi dirinya
Adalah antara perasaan terindah
Dalam kehidupanmu
Mungkin hatimu terluka
Mungkin engkau kecewa
Andai suatu masa
Jawapan yang kau terima
Tidak seperti yang diharapkan
Tapi, jangan kau hilang pertimbangan
Apa pun yang terjadi,
Hidup mesti diteruskan
Tapi andai dia menerima
Jagalah hatinya
Jangan sakiti hatinya
Jangan lukakan perasaannya
Terimalah dia seadanya……
Setiap insan dilahirkan
dengan kelebihan dan kekurangan
            Ingatlah segala pesanan
            Usah biarkan dirimu kecundang
  Jangan kau ulangi kesilapan semalam
  Kerana ia bisa mengundang penyesalan...


            

Wednesday, November 3, 2010

Bersakit-sakit dahulu

(Entry ini berkaitan dengan entry "Dalam Memori" & "Secebis Kisah Kehidupan")

Ibu,
Telah ku tebus
Setiap titis airmatamu
Yang telah mengalir
Kerana mereka
Tapi,
Kenapa aku tidak mampu
Mengawal airmataku sendiri

Teman,
Andai kau fahami
Perjalanan hidup yang telah ku lalui
Ku pasti
Kau akan mengerti
Mengapa aku jadi begini.

*******************************************
Dalam kehidupan ini, kita perlu berkorban. Apalah sangat pengorbanan kita kalau nak dibandingkan dengan susah payah ibu bapa untuk membesarkan kita.  Untuk mencapai sesuatu keinginan, kita kena lupakan keinginan yang lain.

Cuma kadangkala kita merasa sedih bila hasrat tak kesampaian.  Apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan.  Apalagi jika ia melibatkan hati dan perasaan.  Apalagi jika insan yang kita harap dapat mengerti kedudukan kita, tidak cuba untuk memahami.  Dan menyalahkan kita atas apa yang terjadi.  Sedangkan, kita sendiri  sedang terseksa menahan kepedihan.

Tuhan memberi kita akal untuk berfikir.  Kita kena fikir rasionalnya. kenapa kemahuan kita ditolak, kenapa keinginan kita disekat.  Hidup kita bukan hanya untuk hari ini. Kita kena fikir tentang perjalanan hidup yang masih panjang.  Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik saja untuk anak-anak mereka. 

Jangan risau kehilangan cinta.  Tidak perlu mengejar cinta.  Tiba masanya cinta datang mencari kita.  Tapi, kejarlah cita-cita kerana ia menentukan masa depan kita. Menangislah sekarang kerana kita masih ada waktu untuk membaiki kelemahan daripada menangis pada hari esok setelah segalanya sudah terlambat…

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian.