Thursday, December 16, 2010

Sebenarnya

Sebenarnya,
            Aku tidak mahu mengingati
            Tidak ingin memikirkan
            Apa yang terjadi
            Tapi,
            Dalam keadaan begini
            Tidak mampu kuhindari…..
Aku tidak kuat untuk menghadapi
Tapi, aku tidak terdaya untuk lari
Dari kemelut ini…..
Mengapa aku yang terpilih
Untuk melalui situasi ini….

Sebenarnya,
            Aku bimbang……
            Suatu hari nanti
            Bila aku tidak lagi bisa berdiri
            Di atas landasan ini,
Mungkin aku akan membuat keputusan
Yang merugikan
Diri sendiri dan orang lain……

Friday, November 26, 2010

Menyayanginya...


(Khas buat Adik M...)

Bersama pertemuan itu
Timbul bibit-bibit kemesraan
Dimulai dengan persahabatan
Kini berbunga sebuah harapan
Adik, selagi ada yang kau sayangi
Selagi ada yang kau kasihi
         Selagi itulah hidupmu bererti…..
Tidak perlu engkau menafikan
Takkan kau terdaya menolaknya
Bukan salah dirimu kerana perasaan itu
Hadir tanpa dipinta, lahir tanpa disedari
Menyayangi dan mengasihi dirinya
Adalah antara perasaan terindah
Dalam kehidupanmu
Mungkin hatimu terluka
Mungkin engkau kecewa
Andai suatu masa
Jawapan yang kau terima
Tidak seperti yang diharapkan
Tapi, jangan kau hilang pertimbangan
Apa pun yang terjadi,
Hidup mesti diteruskan
Tapi andai dia menerima
Jagalah hatinya
Jangan sakiti hatinya
Jangan lukakan perasaannya
Terimalah dia seadanya……
Setiap insan dilahirkan
dengan kelebihan dan kekurangan
            Ingatlah segala pesanan
            Usah biarkan dirimu kecundang
  Jangan kau ulangi kesilapan semalam
  Kerana ia bisa mengundang penyesalan...


            

Wednesday, November 3, 2010

Bersakit-sakit dahulu

(Entry ini berkaitan dengan entry "Dalam Memori" & "Secebis Kisah Kehidupan")

Ibu,
Telah ku tebus
Setiap titis airmatamu
Yang telah mengalir
Kerana mereka
Tapi,
Kenapa aku tidak mampu
Mengawal airmataku sendiri

Teman,
Andai kau fahami
Perjalanan hidup yang telah ku lalui
Ku pasti
Kau akan mengerti
Mengapa aku jadi begini.

*******************************************
Dalam kehidupan ini, kita perlu berkorban. Apalah sangat pengorbanan kita kalau nak dibandingkan dengan susah payah ibu bapa untuk membesarkan kita.  Untuk mencapai sesuatu keinginan, kita kena lupakan keinginan yang lain.

Cuma kadangkala kita merasa sedih bila hasrat tak kesampaian.  Apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan.  Apalagi jika ia melibatkan hati dan perasaan.  Apalagi jika insan yang kita harap dapat mengerti kedudukan kita, tidak cuba untuk memahami.  Dan menyalahkan kita atas apa yang terjadi.  Sedangkan, kita sendiri  sedang terseksa menahan kepedihan.

Tuhan memberi kita akal untuk berfikir.  Kita kena fikir rasionalnya. kenapa kemahuan kita ditolak, kenapa keinginan kita disekat.  Hidup kita bukan hanya untuk hari ini. Kita kena fikir tentang perjalanan hidup yang masih panjang.  Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik saja untuk anak-anak mereka. 

Jangan risau kehilangan cinta.  Tidak perlu mengejar cinta.  Tiba masanya cinta datang mencari kita.  Tapi, kejarlah cita-cita kerana ia menentukan masa depan kita. Menangislah sekarang kerana kita masih ada waktu untuk membaiki kelemahan daripada menangis pada hari esok setelah segalanya sudah terlambat…

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian.

Sunday, October 24, 2010

Terima Award La...

Dalam sibuk ber'blogwalking' ni, ada pulak orang sudi bagi award...
Thanks mR.Are'Zz coz bagi award ni...tapi kena lak jawab soalan, tak boleh ke kalau tak jawab ? Tapi tak pe la, Lynn jawab la jugak...

1. Apakah yang bermain di minda anda sekarang?
Nak relax je, makan2...

2. Apakah nama samaran anda?
Nama blog tu la, Myralynn...

3. Siapakah 3 orang yang paling kamu sayang?
Semestinya suami, anak2 dan ibu bapa...

4. Panggilan untuk si dia?
Sebelum kahwin dulu panggil nama, skrg panggil Abang...

5. Hadiah yang anda impikan daripada seseorang yang istimewa?
Kasih sayang yang berkekalan di dunia sehingga ke akhirat...

6. Blog yang anda selalu lawat?
Yang selalu singgah kat blog Lynn la..

7. Tag kan kepada 15 blogger..
Lynn tag kat orang yang bagi award ni la...
:: mR.are'Zz
:: Seterusnya...tag la sendiri...hehe...

Akhirnya...
Ni la award tu...kasut !!! Ok la kasut pun, kasut la...boleh pakai gi blogwalking...hehe...

Monday, October 18, 2010

Melukut Di Tepi Gantang

Telah kusingkirkan semua
Yang dulunya pernah bertakhta
Segalanya keranamu
Hanya untuk bersamamu
Tapi kau sentiasa mencurigaiku
Selalu berprasangka buruk terhadapku

Aku bangga dengan pencapaianmu
Sentiasa memandang tinggi akan dirimu
Sesungguhnya aku sendiri tidak mampu
Untuk menjadi sepertimu

Namun,
Kerana tingginya kedudukan
Kau memandang rendah
Semua yang di bawah
Apa yang dibuat semuanya salah

Kritiklah aku salahkan diriku
Kalau itu menyenangkan hatimu
Cuma kadangkala terguris rasa
Hamburan kata-kata sesedap rasa
Adakalanya menusuk jiwa

Aku tiada daya untuk berkata
Hilang rasa untuk berbicara
Tak mampu lagi untuk ketawa

Aku akui segala kelemahan
Aku insan serba kekurangan
Bagai melukut di tepi gantang
Ada, tak menambah
Tiada pun tidak berkurangan.

Friday, October 15, 2010

Aku Bukan Sesiapa

Canangkan ke seluruh pelusuk dunia
Segala keburukan ku
Hebahkan ke segenap lapisan masyarakat
            Semua keaiban ku

Bila kebencian melanda diri
Cuma kesalahan ku  
Yang berada di mata mu…
Hanya keburukan ku
Yang bermain di fikiranmu…

            Aku tidak punya apa-apa
Dan aku bukan sesiapa
Untuk kau banggakan…
Aku tiada keistimewaan
Untuk kau ketengahkan…

Dari dulu hingga sekarang
Aku hanya menumpang
Dan aku hanya menyusahkan
Itulah alasanmu menyakitiku

Tak apalah…
Hanya Tuhan yang mengerti
Apa yang berada di hati
Ada juga airmata
Sebagai teman setia.

Monday, October 11, 2010

Terima Kasih Atas Segalanya

(Entry ini berkaitan dengan entry "Suatu Ketika")

Hari pertama melangkah ke SMK Beringin, aku bersyukur sangat kerana sekolah ini dekat dengan rumahku.  Sekolah ini merupakan sekolah kedua tempat aku bertugas. Aku menghadiri mesyuarat pertama dan berkenalan dengan rakan-rakan baru. 

            Perasaan janggal tidaklah terasa sangat sebab di sini ada rakan lamaku semasa belajar di Universiti dulu.  Ada juga Lydia, kawan yang sama-sama buat praktikal di SMK Dedalu sebelum aku posting ke SMK Bidara. Dalam mesyuarat pertama itu aku cukup respect dengan Kak Nur.  Caranya bercakap dan memberikan hujah, aku rasa jauh sangat perbezaannya dengan aku.

            Sepatutnya aku mengajar di sebelah petang tapi aku berjumpa dengan Pengetua waktu itu, En. Karim agar mempertimbangkan permohonanku supaya aku ditempatkan di sebelah pagi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  Ada dua tugas mencabar yang aku pegang pada tahun pertama dan dalam kedua-dua jawatan itu, aku bekerja dengan Kak Nur.

            Banyak perkara aku belajar dari Kak Nur dan kami agak rapat kerana sering bekerja bersama.  Tahun kedua di SMK Beringin, aku dilantik menggantikan tugas Lydia, kawanku itu kerana dia mengambil cuti mengikuti suami yang bekerja di luar negara.  Dua tahun memegang jawatan itu, aku semakin respect pada keupayaan Kak Nur menguruskan berbagai aktiviti organisasi.

            Aku lupa tarikhnya tapi rasanya dua tahun selepas itu, Kak Nur menyatakan hasratnya untuk bertukar ke sekolah berhampiran dengan rumah barunya dan dia meminta aku bersedia memegang jawatan Ketua Organisasi X, menggantikan tempatnya.  Waktu itu aku merasa takut sangat. Aku rasa aku tak mampu memegang jawatan setinggi itu. Aku tak mampu menjadi seperti Kak Nur. Walau bagaimanapun, aku mula membuat persediaan. Aku mula meneroka tugas yang selama ini diuruskan oleh Kak Nur. Banyak perkara yang harus aku pelajari dan rujukan utamaku ialah pengalaman Kak Nur.

Bukan senang hendak menguruskan Organisasi X. Pening kepalaku memikirkannya.  Akhir tahun itu, apabila Pengetua memanggilku untuk menyerahkan jawatan Ketua, aku minta dikekalkan memegang tugasku yang dulu.  Sebaliknya aku memberi cadangan nama-nama guru lain yang terlibat dalam Organisasi X supaya mereka saja dilantik menjadi Ketua.

            Aku ingatkan aku dah selamat tapi selepas itu aku mendapat tahu pada tahun tersebut telah dibuat rombakan semula. Semua guru yang sebelum ini terlibat di dalam Organisasi X telah mendapat jawatan lain.  Hanya aku yang masih kekal di dalam Organisasi X dan akulah yang dilantik menjadi Ketua.  Terpaksalah aku menerimanya.

Pada awal tahun itu, seorang guru lelaki yang baru keluar Maktab Perguruan berpindah masuk ke SMK Beringin.  Kak Nur terus memberi cadangan kepada Pengetua supaya guru itu dilantik menggantikan tugasku dulu, sesuai dengan opsyennya. Cadangan itu diterima, jadi secara rasmi Amir dilantik memegang jawatan itu.

Agak lama juga Kak Nur menunggu proses kelulusan pertukarannya tapi seingat aku akhir Januari tahun seterusnya barulah dia berpindah.  Sementara dia masih berada di sini aku tidak melepaskan peluang untuk bertanya pelbagai perkara mengenai Organisasi X.  Sebenarnya walaupun Amir telah dilantik, aku masih menguruskan kerjaku yang dulu. Masih membuat dua kerja dalam satu masa. Mungkin sebab Amir baru, banyak perkara yang dia perlu belajar.  Lagi pun, dia lebih banyak terlibat dengan aktiviti kokurikulum.  Aku sendiri segan untuk mendekatinya. 

Masa tu, tidak ramai guru dan murid yang datang ke bilik khas Organisasi X.  Keadaannya suram.  Aku rasa aku perlu berbuat sesuatu,  aku perlu menukar imej bilik itu.  Aku banyak menghabiskan masaku di bilik itu, jarang aku balik awal ke rumah.  Sedikit demi sedikit aku ceriakan bilik itu dan aku melakukannya sendirian walaupun sebenarnya ada lagi guru lain yang menjadi AJK ku dan juga tidak kurang pelajar-pelajar yang ditugaskan untuk membantu organisasi tersebut. Salahku sendiri kerana tidak pandai menjadi pemimpin.

Hari terakhir Kak Nur berada di SMK Beringin, perasaan sedih dan takut berbaur dalam hatiku.  Sedih akan kehilangannya dan takut jika aku tidak dapat mengendalikan Organisasi X dengan baik.  Kak Nur dah pergi, pada siapa nak bertanya lagi. Tapi, walau macam mana takut pun, aku harus teruskan. Ini tugas yang diamanahkan, ini tanggungjawabku. Aku akan memikulnya, aku akan menghadapinya dengan caraku sendiri.

Bilik itu sudah agak berubah keadaannya.  Kalau selama ini pelajar-pelajar dan guru-guru jarang ke bilik itu, sekarang semakin ramai pengunjung.  Selepas En. Karim bersara, tiba pula pengetua baru, Pn. Sofea.  Bila dia ke bilik ku, komennya “bilik buruk”.  Aku rasa telah banyak yang ku lakukan tapi nampaknya masih tidak memuaskan hatinya.  Komennya itu sentiasa terngiang-ngiang di telinga. Bagi ku, ia komen yang membina.  Tunggu, akan ku buktikan….

            Sedikit demi sedikit kerja yang sepatutnya Amir lakukan, aku serahkan kepadanya.  Sedikit demi sedikit aku mengajarnya, sehingga dia faham apa yang sepatutnya dilakukan.  Kerana urusan kerja, aku  semakin rapat dengannya.  Aku mula mengenalinya.  . 

Kami selalu berbincang untuk kebaikan organisasi.  Perkara pertama yang ingin kami lakukan ialah menaiktaraf bilik itu.  Takut juga bila memikirkan ia melibatkan wang yang banyak dan masa yang lama.  Sebenarnya sudah lama Kak Nur dan aku ingin lakukan perkara yang sama dulu tapi masing-masing tiada keberanian.  Tapi melihat keyakinan dan kesungguhan Amir, aku jadi berani. 

            Bermacam-macam kritikan yang aku terima dari guru-guru lain bila tiba-tiba kontraktor  menghilangkan diri.  Proses pembinaan terhenti seketika.  Aku risaukan keselamatan barang2 yang berada di dalam bilik itu.  Aku sendiri merasa bimbang bila Amir seakan-akan tidak mempedulikan perkara itu.  Aku hilang kepercayaan kepadanya.  Aku menyesal mendengar kata-kataya, menerima cadangannya.  Aku mula hilang arah.  Apa yang harus aku lakukan?  Macammana aku nak berhadapan dengan Pengetua ?

            Rupanya dalam waktu yang sama Amir sedang berusaha mencari kontraktor baru bila dia sedar keadaan yang berlaku. Dia tidak lepas tangan begitu saja. Proses pembinaan berjalan semula. Sepanjang waktu itu, Amir datang ke sekolah tak kira masa, kadang-kadang dari petang membawa ke malam, kadang-kadang hari minggu pun tetap di sekolah.  Semata-mata untuk memastikan segalanya berjalan lancar.  Untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi.

            Hari terakhir pembinaan itu dijalankan, aku dan Amir berada di sekolah untuk memeriksa kerja-kerja kontraktor, kalau-kalau masih ada yang perlu diperbetulkan.  Sampai jam tujuh malam kami di situ.  Kerja terakhir yang dilakukan ialah memasang roller shutter.  Bila shutter itu ditarik, bunyinya yang kuat menyentap sehingga ke jantungku. 

Akhirnya, tercapai juga impianku untuk melihat bilik itu berubah wajah.  Teringat kritikan kawan-kawan dan paling menyentuh perasaanku ialah pandanganku sendiri terhadap Amir. Aku merasa bersalah sangat kepadanya.  Kenapalah aku lebih mendengar kata orang lain yang tiada kena mengena dengan organisasi itu daripada orang yang ikhlas ingin membantuku, orang yang sama-sama berpenat lelah untuk melihat kejayaan organisasi yang diamanahkan.  Jahatnya aku…

Hari berganti hari, masa berganti masa.  Aku dan Amir berganding bahu menguruskan program dan aktiviti organisasi. Kami harungi segala kepayahan. Kami hadapi segala cabaran. Kami saling melengkapi, saling menguatkan.  Dan kini, Organisasi X tidak lagi dipinggirkan.  Ia mula mendapat perhatian.

Sebenarnya, kehadiran Amir banyak memberi kesan dalam hidupku. Dia selalu menguatkan semangat dan mengembalikan kekuatan di saat aku hampir tenggelam menahan segala kata yang menyakitkan.  Kalau dulu aku kurang keyakinan diri, sekarang aku menjadi berani.  Penampilanku juga berubah. Kawan-kawan pun sedar dengan perubahan diriku.  Aku sendiri tidak menyangka apa yang tidak mampu aku lakukan dulu, boleh aku lakukan sekarang.  

Amir seorang guru yang hebat.  Dia berkebolehan dalam banyak bidang.  Dia disenangi pelajar-pelajarnya. Tapi di dunia ini tiada manusia yang sempurna.  Sebagaimana aku boleh menerima segala kelebihannya, aku juga terima segala kekurangannya. Aku menganggap Amir sebagai adikku sendiri.  Aku tidak kisah apa pun yang orang lain katakan tentang Amir.  Aku lebih mengenalinya.  Terima kasih Amir….

Thursday, October 7, 2010

Sudah Takdir Nya (Kisah Kampus Part II)

Semasa di sekolah menengah lagi aku aktif dalam PBSM.  Aku memang minat badan beruniform. Aku pernah menjadi komandan semasa pertandingan di peringkat negeri dan pasukan ku mendapat naib johan waktu itu.  Bila masuk universiti, aku teruskan aktiviti ini. 

Sebenarnya nak masuk ROTU (PALAPES) sebab aku memang minat aktiviti lasak, tapi kawan2 menasihatkan agar aku tidak meneruskan niatku itu. Mereka takut aku menjadi kasar.  Sebetulnya, aku tak jumpa kawan yg nak join ROTU tu, kalau tidak, aku tak kisah.  Aktiviti pertama yg perlu dihadiri oleh ahli baru PBSM ialah Kursus Kepimpinan. Dan bermulalah kisah itu... 

Semasa kursus pertama, ada yg menarik perhatian ku...seorang pemimpin yang aku kagumi.  Tgk gayanya, cara penyampaiannya...aku cukup respect.  Dlm hati timbul keinginan, suatu hari aku ingin jadi spt dia.  Memang itulah perangaiku, aku mudah kagum pada apa yang orang lain boleh buat sedangkan aku tidak mampu lakukannya...

Aku meminati dia dan aku rasa tak salah kalau peminat hantar kad harijadi.  Hingga skrg aku masih ingat tarikh lahirnya.  Byk program yg kami hadiri bersama, itu salah satu faktor yg mendekatkan kami. Tapi kawan2 ku marah bila tahu aku sukakan Mie.  Mungkin kerana sikap Mie, dia tak friendly.  Tak ada pun tanda2 yang dia sukakan aku...

       Kenapa kau suka sgt kat budak hitam tu  marah Rozy.
(actually muka kami semua mmg hitam, sbb berjemur tgh panas masa kem tu..)
       Korang cakap la hitam ke, apa ke...dah aku suka...nak buat camana...”
Tak tau nak bagi jawapan apa, last2 itulah saja jawapan ku...

Sampailah satu masa, aku rasa ada respons.  Mie mula menegurku, mula bercakap denganku... Timbul rasa ingin tahu lebih lanjut mengenai diri Mie. Kebetulan kawan ku Rina, satu fakulti dan dia kenal Mie.  Rina volunteer untuk menyiasat...

Dua hari selepas itu, Rina ke bilikku.  Katanya, Mie sudah ada girlfriend.  Baru peringkat permulaan.  Sedih jugak la bila dpt tahu berita tu.  Barulah aku terfikir, mula sedar diri.  Patut la selama ni Mie buat tak tau je.  Mula rasa menyesal...

Aku berjanji pada diri sendiri, aku tak mahu menjadi org ketiga.  Malam itu,  semalaman aku menangis. Rasa macam kuat semangat tapi boleh nangis sbb perkara macam ni.  Tapi nangis tu sbb marahkan diri sendiri, rasa cam bodoh, bodoh sgt.  Nak marah kat Mie, tak de sebab...

Tapi lepas tu aku terfikir kembali, kenapa aku harus nangis ? Adakah aku menyintainya ?  Dan, aku temui jawapannya.  Aku hanya meminatinya.  Cuma aku ingin dekat dengannya, berkawan dengannya. Tapi dia sombong, maklum la dia punya segala kelebihan.  Aku sedar siapa lah aku. Aku tidak harus lemah semangat kerana perkara ini.  Aku harus bangkit, cari kekuatan baru.  Itu satu kesilapan, harus dibetulkan...

Biasa lah, bila berjanji, kita akan diuji.  Semakin aku cuba lari, aku rasa Mie semakin dekat. Sentiasa mencari ruang untuk menegurku. Aku mula rasa berbelah bagi.  Betulkah apa yang Rina ceritakan ?  Sebenarnya, aku tidak kuat untuk menghadapi keadaan ini.   Aku tak mau memungkiri janji pd diri sendiri.

Tak kisahlah dia sudah berpunya atau belum, yang penting...aku harus menjauhinya...tapi, tidak semudah itu, kami dalam satu persatuan, nak lari ke mana ?  Masa tu la aku nampak Dee, ahli persatuan itu juga.  Aku rasa dia saja yg boleh tolong aku.  Aku nak Mie fikir aku dgn Dee.  Padahal masa tu aku dan Dee tak ada apa2 pun, malah aku pernah cakap..."kalau Dee tu, last choice la" pada kawan2 ku, bukan apa...sbb aku rasa Dee baik sangat sedangkan aku "gila-gila" skit, tak sesuai.  Tapi apa nak buat, itulah namanya jodoh.  Dee suamiku skrg...

Rupanya itulah caranya Allah menemukan aku dgn jodohku.  Kami akhirnya berjaya menjadi pemimpin seperti Mie juga...

Tuesday, October 5, 2010

Akan Kuteruskan...

Bila keegoan terasa dicabar
Bila hati panas terbakar
Bila luka pedih tercalar
Kata-kata mula tersasar
            Bila kepercayaan mulai hilang
            Bila keraguan makin berpanjangan
            Bila langkah tidak sehaluan
            Tiada lagi yang perlu dipertahankan
Namun,
Selagi aku masih bisa berdiri
Aku akan tetap teguh di sini
Takkan ku harapkan sesiapa lagi
            Aku pasti,
            Tanpa bantuan tanpa sokongan
            Aku masih mampu meneruskannya
            Biarlah sakit akan ku hadapi
            Biarpun pedih akan ku tanggung sendiri
.........................................................................

Rupanya selama ini aku tersilap
Tapi kukira segalanya masih belum terlewat.
Sesungguhnya,
Sukar untuk menghadapinya sendirian
Tapi itulah hakikat yang harus ku terima
Ku pasti, hatimu tidak lagi di sini
Tak apalah, kekuatan adalah dari hati
Bukan kerana majoriti......


Suatu Ketika

Tika itu,
Sebenarnya aku dalam kesulitan
Berbagai cabaran menanti di hadapan

Pemergiannya meninggalkan kesan
Terasa benar aku kehilangan
Di saat aku masih memerlukan
Tiada lagi tempat rujukan

Menggantikan tempatnya
Aku terasa bimbang
Berbagai persoalan , bermain di fikiran
Rasanya aku tidak berkebolehan
Tidak layak mengisi kekosongan

Tidak pasti apa yang harus ku lakukan
Tidak tahu dari mana akan ku mulakan
Bolehkah aku memikul amanah
Mampukah aku menunaikan tanggungjawab

Di sini,
Aku keseorangan
Berjuang bersendirian
Tidak ku temui teman seiringan
Hatiku resah, semangatku lemah

Dalam kekalutan…
Engkau hadir mengisi jawatan
Mulanya langsung tiada perubahan
Adanya engkau tidak memberi kesan

Tiba suatu ketika,
Aku nampak kesungguhanmu
Aku lihat kegigihanmu
Kata-katamu engkau buktikan
Bersama-sama kita realisasikan impian
Hasratku kini menjadi kenyataan

Tika ini,
Aku mempercayaimu
Tidak lagi ku pandang ringan
Idea-idea yang kau lontarkan
Rupa-rupanya kita sealiran
Sebenarnya, ada persamaan
Melihat organisasi menuju kecemerlangan

Aku menghargai
Segala bantuan dan sokongan
Aku berterima kasih
Kerana mengembalikan kekuatan
Dan semangatku yang hampir hilang....

Sunday, October 3, 2010

Aku Kehilanganmu (kisah kampus 90an)


Selama mengenalimu
Tidak pernah aku terfikir
Kau yang ku anggap sahabat
Meninggalkan aku sebagai musuh….

Tiga tahun berbicara
Berkongsi suka dan duka
Biarpun hanya di mata pena
Bagiku engkau teman setia

Tika aku lelah mengejar kehidupan
Engkau hulurkan seribu kekuatan
Tidak pernah engkau tinggalkan
Aku sendirian dalam kekusutan

Aku sangka engkau faham
Erti sayang yang ku curahkan
Tapi dalam diam …………..
Rupanya engkau menyimpan perasaan

Kalutnya aku mencari penjelasan
Agar tidak terguris perasaan
Tapi… apa saja yang ku katakan
Tidak kau terima sebagai alasan

Tidak pernah aku berdusta
Engkau tahu segala cerita
Segalanya tentang kisah derita
Kenapa masih mengharapkan cinta

Engkau pergi dengan kebencian
Tiada salam yang kau hulurkan
Tinggallah aku menyulam kesedihan
Kehilanganmu amat kurasakan

Begitulah adatnya sebuah pertemuan
Pasti disusuli dengan perpisahan
Kau tak akan pernah aku lupakan
Kebahagiaanmu tetap kudoakan
..............................................................................................................................

Mel, aneh bukan persahabatan kita.  Tiga tahun berada di tempat yang sama, kita tidak pernah berjumpa secara berdepan walaupun rancak di arena penulisan.  Cuma kadangkala terserempak di jalanan, itu pun sekadar senyuman yang dilemparkan.  Bukan kau tak pernah mengajakku keluar tapi aku tetap berpegang pada prinsipku.  Sebenarnya Mel, aku masih memegang janjiku pada seseorang dan aku cuba untuk tidak mengkhianatinya walaupun segalanya tiada kepastian.  Waktu itu kemana-mana aku pergi, aku tidak pernah bersendirian sehinggakan kau sendiri memberi gelaran ‘bodyguard’ pada Rose yang sentiasa menemaniku.  Bila aku ceritakan padanya, marah betul dia Mel….

Mengimbas awal pertemuan… Engkau jahat Mel, membiarkan aku tercari-cari siapa pengirim surat tak bernama tanpa stem.  Yang ada hanya nombor palapes dan salam perkenalan dalam irama pantun.  Rina yang membantuku menjejak dirimu.  Student Antropologi memang pandai menyusun kata. Pantun, seloka, sajak… itulah kepakaranmu tapi jangan kau sangka aku tidak mampu mengikut rentakmu…. Akhirnya engkau mengalah jua….

Penat melayan kerenah kehidupan hilang bila ku terima surat-suratmu.  Berat bebanan yang ku pikul terasa ringan tatkala membaca kandungan di dalamnya.  Bila sesekali kesibukan melanda, tiada surat yang kau layangkan…aku rindu Mel, terasa sepi tanpa bicaramu…Aku jujur menyatakan segalanya, tiada apa yang ku sembunyikan darimu.  Engkau tidak jemu memberi  dorongan dan kekuatan bila sesekali aku nyatakan kesedihan.

Cuma di suatu masa aku merasa kelainan dalam bicaramu.  Engkau banyak berbicara soal hati dan perasaan…. Aku jadi takut Mel, aku faham kiasanmu tapi aku pura-pura tidak mengerti… Aku tidak sanggup melukakanmu.  Kau terlalu baik untukku tapi aku bukanlah yang terbaik untukmu… Aku sayangkan kau Mel tapi sayangku sekadar sahabat….

Telah ku ceritakan segalanya padamu ….. tapi kenapa kau masih memilih aku…… Mel, aku sedih bila akhirnya kau berterus terang mengatakan kau menyintaiku…. Menerima suratmu itu, aku menangis Mel… Aku tahu itulah bibit awal membawa perpisahan….

Aku faham perasaanmu kerana pada masa itu kita berada dalam keadaan yang sama..... terlibat dalam cinta tiga dimensi....cuma kisahnya yang berbeza.  Aku minta engkau menerima hakikat sepertimana aku boleh menerima kenyataan yang aku dan Mie tidak boleh bergandingan..... Perasaan itu bukan cinta tapi aku sekadar meminatinya, terlalu respect pada apa yang ada padanya....

Tapi kau tidak boleh menerima kenyataan itu.  Rina mendapat cerita dari sahabat karibmu.....kalau selama ini engkau bersifat periang, bibir yang penuh dengan senyuman....engkau berubah menjadi pendiam, selalu termenung merenung bintang.  Engkau sering bersendirian.... Kenapa Mel, kenapa sampai begitu ? Kadang-kadang aku jadi benci.  Insan yang selama ini selalu menguatkan semangatku boleh jadi lemah, tewas dengan perasaan sendiri......

Ketika itu aku agak rapat dengan Jeff kerana kami terlibat dalam program yang sama.  Peluang itu ku gunakan untuk cuba menjauhkan diri darimu, supaya kau tidak mengharapkan aku lagi.... tapi lain yang ku harapkan, lain pula yang jadi....

Suatu malam Jeff memanggilku, katanya ada sesuatu yang ingin dibicarakan.  Aku tidak pernah terlintas, apa yang ada di fikirannya.

”Lynn, Jeff nak Lynn tahu Jeff sebenarnya sudah ada teman di kampung... pilihan orang tua.  Mereka nak sangat Jeff kahwin dengannya....”

Aku mula faham apa yang cuba dinyatakannya.  Mataku terasa panas tapi aku masih mampu bersuara.....”Kenapa Jeff cakap semua ni pada Lynn  ?”

”Tak de lah, kalau orang tanya bolehlah Lynn jelaskan.....Jeff minta maaf...”

”Ada apa-apa lagi yang Jeff nak nyatakan ? Kalau tak ada, Lynn pergi dulu....” Masa tu airmataku sudah tidak terkawal.  Aku tidak mahu dia lihat aku menangis.... entah apa lagi yang dia fikir tentang diriku......

Aku mengunci diri di dalam bilik.  Aku menangis semahu-mahunya.  Selama ini aku banyak melukakan hati insan bernama lelaki.  Mungkin ini satu pengajaran bagiku.  Tapi aku perlu membersihkan namaku.... Aku mahu Jeff tahu aku tidak pernah, tidak sedikit pun ada apa-apa perasaan terhadapnya, tidak sama sekali…..

Aku ceritakan segalanya pada Rina sebab ku tahu, hanya dia yang boleh membetulkan keadaan….. Menurut Rina, apa yang pasti Jeff sebenarnya sukakan aku tapi dia tahu tentang perasaanmu terhadapku, Mel… .Sebagai kawan, dia tidak mahu menyakitkan kau.

Aku malu pada kau Mel.... Dalam surat-suratmu selepas itu, kau seakan-akan menyindirku.  Tak apalah Mel, aku terima segala-galanya.  Jika inilah suratan yang harus ku terima, aku serahkan segala-galanya pada yang Esa...

Tamat pengajianmu, kau tinggalkan aku begitu saja, tiada ucapan selamat tinggal yang kau utuskan...tak apalah Mel, di mana pun kau berada, ku doakan kebahagiaanmu...

Dalam Memori (first love)

Mungkin ini hukuman
Yang harus ku jalani kerana
Melukakan hati, memungkiri janji
Walau bertahun telah ku lewati
Dirimu masih aku ingati
Entah di mana, bersama siapa
Entah hidup, entahkan mati.... namun
Semuanya masih kekal abadi
Tetap bersemi di dalam memori....
...................................................................................................

Mana mungkin dapat ku lupakan segala-galanya.  Walau pun sudah berbelas tahun ianya berlalu tapi semuanya masih segar diingatan.  Segalanya kerana janji itu.  Janji yang pernah ku ukir… janji yang telah ku mungkiri….

Janji itu ku lafazkan di saat mereka mencabar keutuhan cinta kita.  Aku tidak tahan mendengar kata mereka, aku tidak sanggup melihat engkau berduka….

“Abang, Lynn akan buktikan kata-kata mereka tidak benar.  Ini janji Lynn…”

“Abang percaya pada Lynn…. Abang harap Lynn tak akan tinggalkan Abang biar dugaan apa pun yang datang selepas ini…”

Lynn bimbang Abang yang akan tinggalkan Lynn, maklumlah sekarang ni pun dah ada calon menanti, kan…..”

Waktu itu mereka telah mencari calon yang sesuai untukmu.  Sebenarnya aku tidak mahu menjadi batu penghalang.  Kalau ada kesesuaian antara engkau dan dia, teruskanlah…tak usahlah fikirkan tentang diriku…Tahulah aku membawa hati…Asalkan engkau bahagia…Lagi pun beza usia antara kita enam tahun, engkau telah bekerja sedangkan aku masih di alam persekolahan…Tapi engkau tidak setuju…katamu, engkau tak akan memilih sesiapa selain aku…Selagi aku tidak dimiliki, engkau akan setia menungguku, engkau akan tetap menyintaiku…

Dugaan datang silih berganti… Segalanya berjaya kita rentasi…. Akhirnya, aku menerima perkhabaran gembira tetapi amat memberi kesan dalam perhubungan kita…. Kau dan aku harus menerima hakikat, jarak dan masa yang memisahkan….

“Empat tahun ? Ah, bukannya lama sangat masa itu… biar beribu tahun, biar dimamah usia, Abang akan tetap setia menanti Lynn… Cuma Abang bimbang Lynn yang akan berubah hati… maklumlah perbezaan antara kita dah terlalu jauh…. Siapalah Abang di sisi Lynn waktu itu…”

“Kenapa Abang cakap macam tu, Abang tau kan... Lynn bukannya materialistik, Lynn bukan memandang harta dunia, rupa, pangkat, kedudukan… yang penting keikhlasan, kejujuran dan kesetiaan Abang….”

Dan engkau telah membuktikan kesetiaanmu…. Akulah insan munafik itu….Tapi tahukah Abang, kenapa ku lakukan semua itu ? Berbagai cara aku cuba mempertahankannya… Aku tidak tahu apa lagi yang harus ku lakukan…Bukan daya ku untuk merentasi halangan sebesar itu.  Aku menjadi mangsa keadaan… Aku tersepit di persimpangan….Aku di minta untuk memilih…Maafkan aku, aku tidak mampu memilihmu walau pun itu yang ku mahu……Umpama menelan duri, aku terluka sendiri….Kalau tidak kuat semangatku, aku tidak tahu apa akan terjadi pada diriku…..

Abang, aku tahu kau tak akan menerima alasanku.  Apa pun yang ku katakan, kau tak akan terima dengan mudah….tapi aku tidak mahu kau menanti dan terus menanti sedangkan segalanya seakan tiada kepastian…. Sengaja aku mempertemukan dia denganmu.  Aku menyatakan yang dialah pilihanku …. Walaupun sebenarnya aku tidak pasti perasaanku terhadapnya…

Ku nyatakan segalanya telah berakhir tapi kau tidak mahu kehilanganku … Katamu, selagi aku tidak dimiliki, engkau masih mempunyai peluang. Aku meminta kau menerima kenyataan itu, aku minta kau menganggapku sebagai adikmu….engkau akur dengan kemahuanku walaupun ku tahu kau tidak pernah menganggapku begitu….Masih ku ingat bait-bait lagu itu, “If there’s really no chance to start once again, I’m still loving you….”  - Scorpion

Tamat empat tahun pengajianku di menara gading, ku utuskan kad undangan …. Zalimnya aku rasakan tindakan ku tapi apa lagi yang harus ku lakukan… Aku diberitahu engkau hadir di hari persandinganku tapi aku tidak menyedari kehadiranmu.  Selepas itu aku tidak mendengar lagi berita tentang dirimu….

Sesungguhnya aku teramat kesal dengan apa yang terjadi…. Aku terpaksa mengalah dan mengakui kebenaran kata-kata mereka dulu…Aku tidak pasti bagaimana engkau menghadapi mereka tapi aku pasti engkau akan meletakkan kesalahan itu ke atasku seratus peratus kerana kau tidak berada di tempatku…..Engkau tidak merasakannya….

Biarlah ku tanggung segala kepedihan itu.  Cinta tidak semestinya bersatu, terimalah hakikat tiada jodoh di antara kita.  Andai ada kemaafan, ampunkanlah diriku….Selagi ada hayatku, izinkan aku terus mengenangmu kerana segala-galanya masih kekal abadi di dalam memori hidupku…….