Thursday, August 25, 2011

Salam Aidilfitri 1432H


Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk semua rakan blogger yang sudi bertandang ke blog Lynn.  Semoga raya tahun ini mencipta satu lagi kenangan terindah dalam hidup kita.  Kepada yang akan balik kampung dengan kenderaan sendiri, hati-hati memandu. Kepada yang naik kenderaan awam pula elok-elok duduk dalam kenderaan tu..hehe...Semoga  selamat sampai ke destinasi dan dapat beraya dengan ahli keluarga tersayang.

Kepada yang tak dapat balik beraya dengan keluarga kerana menjalankan tugas, sabarlah. Balik la selepas raya nanti. Sambil-sambil tu dengarlah lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, gerenti amat terasa sayu dan pilunya..hehe..saja nak mengusik sekali sekala...

Di kesempatan ini Lynn ingin meminta ampun dan maaf kepada semua jika Lynn ada terkasar tulisan  di dalam mana-mana entri blog ini atau semasa blogwalking.  Harap sudi maafkan Lynn...

Hari Raya Hari Bahagia
Disambut Dengan Bersukaria
Tangan Dihulur Maaf Dipinta
Semoga Terampun Segala Dosa.

Monday, August 22, 2011

Cukup Sampai Di Sini

Maaf, cukuplah sampai di sini
Telah ku lontar perasaan itu ke tepi
Kerana yang ku terima hanyalah mimpi
Ketenangan tidak pernah aku miliki
      Sepanjang waktu aku diburu keresahan
      Setiap ketika aku kegelisahan
      Sikapmu sering membuatku tertekan
      Hingga selalu terjadinya pergaduhan
Kau tak pernah berubah
Semua perkara kau ambil mudah
Selalunya akulah yang terpaksa mengalah
Tapi kini aku sudah lelah
      Telah banyak peluang kuberi
      Tapi tak pernah kau ambil peduli
      Jadi biarlah aku akhiri
      Maafkan aku atas tindakan ini.
Semoga kau bahagia dengan caramu....

Sunday, July 17, 2011

Terima Kasih

Terima kasih, tuhanku
Hingga ke saat ini
Aku masih diberi kesempatan
Untuk menghirup udaramu
Untuk bernafas dibumimu
       Terima kasih, tuhanku
       Hingga ke hari ini
       Aku masih diberi peluang
       Untuk merasai indahnya ciptaanmu
       Untuk menikmati segala pemberianmu
Pahit dan manis, tawa dan tangis
Itulah irama hidup, ibarat putaran roda
Sekejap di atas sekejap di bawah
       Terima kasih, Tuhanku
       Kerana aku diberi sebuah perasaan
       Untuk menikmati sebuah kebahagiaan
       Untuk merasai sebuah kekecewaan
       Untuk mengerti nilai kasih sayang
       Dalam mewarnai sebuah kehidupan

Sunday, June 19, 2011

Aku Ingin Kau Tahu

Dia tetap seperti dulu. Sifat pendiamnya itu membuatkan aku sendiri tidak tahu apa yang harus dibualkan dengannya. Sebenarnya aku pun begitu, mewarisi sifat pendiamnya itu. Aku tidak pandai memulakan bicara bila berada di kelompok kawan-kawan. Dan sememangnya aku tidak mempunyai ramai kawan. Yang ada hanya seorang dua teman rapat, tempat aku berkongsi masalah, di dalam suka mahu pun duka.

Tapi aku sangat menghormati dia. Dia sentiasa berusaha untuk memenuhi setiap keperluanku. Walaupun gajinya tidak seberapa, dia sanggup membuat pekerjaan lain selepas waktu bekerja untuk menampung kekurangan yang ada. Kalau anda sudah membaca entri awalku dulu "Secebis Kisah Kehidupan" anda akan lebih mengerti tentang kisah awal kehidupanku.

Ayah, sudah tercapai impianmu untuk melihat kejayaanku. Telah ku tebus segala kepahitan yang pernah kita rasakan dulu. Walaupun tidak berjawatan tinggi tapi aku mempunyai pekerjaan untuk menampung kehidupan. Kini, aku cuma mahu melihat kau bahagia dan hanya senyumanmu yang ingin kutatap. Sudah tiba masanya untuk kau berehat setelah bersusah payah membesarkan kami adik beradik.

Walaupun kelihatannya kami lebih rapat dengan ibu tetapi kasih sayang kami tidak pernah berbelah bagi. Cuma mungkin kerana ibu lebih banyak bicara, kami lebih senang berbincang dengan ibu. Lagipun, ayah tidak suka membuat sebarang keputusan selagi belum mendapat persetujuan ibu. Ayah lebih banyak mengalah demi menjaga keharmonian keluarga.

Sempena Sambutan Hari Bapa tahun ini, ketahuilah ayah bahawasanya anakmu ini sangat mengasihimu. Walaupun tidak banyak yang mampu aku bicarakan tapi aku ingin kau tahu betapa aku selalu merindukanmu  di kejauhan ini. Aku tetap mengingatimu...selalu... Selamat Hari Bapa, Ayah. Terima kasih atas segala pengorbananmu...