Sunday, October 3, 2010

Secebis Kisah Kehidupan

Sebelum berkahwin dengan ibu, ayah adalah seorang duda.  Perkahwinan ayah dengan isteri pertamanya bukanlah atas dasar cinta tapi diatur oleh nenek.  Ayah seorang anak yang taat, tidak pernah membantah kehendak orang tuanya. Menurut ibu, isteri ayah dulu baik dan lemah lembut  orangnya.  Atas kemahuan nenek, mereka tinggal di bawah satu bumbung.  Benarlah kata orang, menantu dan mertua tidak elok tinggal bersama.  Entah apa malang menimpa, nenek membenci isteri pertama ayah dan lebih malang lagi menghalaunya dari rumah.  Ayah disuruh menceraikan isterinya.  Ayah mengikut kemahuan nenek walaupun dengan hati yang berat.  Waktu itu, usia perkahwinan mereka tidak sampai setahun.

Perkenalan ayah dengan ibu membuahkan bibit-bibit cinta.  Rambut ibu panjang mengurai dan ibu seorang yang pandai bergaya, itulah yang menawan hati ayah.  Ayah pun tidak kurang kacaknya, walau hanya sebagai pelayan di kedai nasi, pakaiannya sentiasa kemas.  Nenek merestui hubungan mereka dan akhirnya mereka menjadi pasangan suami isteri yang sah. Seperti perkahwinannya yang terdahulu, nenek mahu ayah membawa ibu tinggal bersamanya. Alasan nenek, dia hanya ada dua orang anak.  Kalau ayah pergi, rumah itu sunyi.  Nenek tidak mahu berjauhan dari anak-anaknya. Akhirnya, ayah dan ibu akur dengan kehendak nenek. 

Tidak lama kebahagiaan dikecapi, ibu menderita dimaki hamun setiap hari.  Ada saja yang tidak kena pada pandangan nenek.  Ayah keluar bekerja awal pagi dan malam baru pulang.  Ibu pun bekerja, walau hanya sebagai orang gaji di rumah orang. Kerjanya hanya beberapa jam sahaja setiap hari. Pulang saja dari bekerja, ibu terpaksa menahan telinga mendengar segala kata yang menyakitkan.  Berbeza dengan isteri ayah yang terdahulu, ibu seorang yang berani.  Kata ibu, kenapa harus takut kalau kita di pihak yang benar.  Nenek menuduh ibu yang bukan-bukan.  Mak Su, adik ayah juga tidak kurang bahasanya. Lama-kelamaan, segala rasa hormat ibu pada nenek hilang.  Ibu mula melawan cakap nenek.  Setiap malam, pulang saja ayah dari kerja nenek mengadu tentang ibu. Betapa bencinya nenek pada ibu, ayah disuruh memilih satu antara dua.  Perasaan ayah tertekan, segalanya dirasakan serba tak kena. 

Hari itu, pulang saja dari kerja ibu melihat beg pakaiannya di muka pintu.  Nenek tidak mengizinkan ibu masuk ke rumah.  Ibu disuruh pergi.  Nenek tidak mahu melihat wajah ibu lagi.   Ibu membawa diri ke rumah ibu saudaranya.  Sepulangnya ayah dari kerja malam itu, nenek menyuruh ayah menceraikan ibu.

Ibu menasihatkan ayah supaya mengikut kata nenek.  Kata ibu, isteri boleh dicari tapi emak tidak boleh diganti.  Walaupun ayahlah segala-galanya bagi ibu, ibu minta ayah melupakannya.  Ayah menangis di hadapan ibu.  Mana mungkin ayah dapat melupakan ibu.  Ibu adalah cinta pertamanya.  Ayah tidak mahu lagi menjadi lembu yang dicucuk hidung.  Bukan ayah ingin menjadi anak derhaka tapi ayah tidak mahu membuat keputusan yang salah. Itulah kali pertama ayah melawan kehendak nenek. 

Ibu dan ayah menyewa tidak jauh dari rumah nenek.  Dan di rumah itulah aku dilahirkan.  Selama di rumah itu, beberapa kali nenek datang menjenguk.  Nenek mengakui kesilapannya dan meminta ayah kembali ke rumah.  Ibu menolak dengan baik permintaan nenek.  Nenek tidak berputus asa, dia tetap berharap kami akan kembali.  Akhirnya pada tahun kelima, nenek memujuk ibu membina rumah bersebelahan rumahnya.  Kata nenek, dia mahu anak dan menantu serta cucu-cucunya tinggal di kawasan yang sama.  Dia sudah membuat perancangan, rumah ayah di sebelah kanan dan rumah Mak Su di sebelah kiri.  Dengan linangan airmata dia meminta agar ibu tidak menghampakan harapannya.  Ibu termakan dengan kata-kata nenek dan bersetuju dengan cadangan itu, yang sebenarnya membuat hidup kami sekeluarga semakin tertekan…….

*******************************************************************************

Nenek dikurniakan cucu yang ramai.  Walaupun anaknya hanya dua orang tapi cucunya 12 orang, 6 dari ayah dan 6 juga dari Mak Su.  Tapi sikap pilih kasihnya memang terserlah.  Dia terlalu menyayangi anak-anak Mak Su dan memanjakan mereka.  Kami adik beradik tidak merasa kasih sayang nenek walaupun sentiasa berada dekat dengannya.  Nenek agak berharta tapi dia pernah menyatakan hartanya itu hanyalah untuk Mak Su….Nenek, percayalah kami sekeluarga tidak pernah mengharapkan harta nenek.  Yang kami harapkan, jangan dijaja kisah keluarga, jangan membuka pekung di dada pada mereka di luar sana.  Betapa pun nenek memburukkan kami, mereka akan tahu kebenarannya. 

Walaupun tidak tinggal di rumah yang sama, ibu masih menerima cacian.  Kami adik beradik tidak terkecuali, pantang silap sikit, apalagi kalau menyentuh cucu-cucu kesayangannya.  Apa-apa yang berlaku, kamilah yang disalahkan.  Fiq dan Fira berlagak sombong, ajaran nenek menjadikan mereka angkuh.  Mereka berani melawan kata orang tua, malah kata Mak Su dan nenek sendiri pun mereka lawan.

Aku tahu ibu tertekan dan amat menyesal mengikut kata nenek supaya membina rumah itu.  Aku anak pertamanya, menjadi tempat ibu mencurahkan segala perasaan dan harapan.  Walaupun aku tahu betapa marahnya ibu pada nenek, Ibu mendidikku agar menghormati nenek.  Ibu tidak mahu aku menjadi seperti Fiq dan Fira. Ibu mahu aku membuktikan bahawa aku lebih baik dari cucu-cucu kesayangan nenek. 

*******************************************************************************

Seingatku, tahun itu aku di Tingkatan tiga dan akan menghadapi salah satu peperiksaan besar..  Sudah dua tiga hari nenek marah-marah.  Tak tahulah apa pula yang tidak kena. Bermacam-macam perkataan nenek keluarkan, sakit telingaku mendengarnya.  Ibu menyuruhku menutup segala pintu dan duduk diam-diam di dalam rumah.  Melihat ibu tidak melawan, nenek datang berdiri di depan rumahku dengan memegang parang.  Mak Su pun tidak ketinggalan bersama emaknya memaki ibu.  Yang jelasnya nenek marah kerana katanya ibu telah meracuni fikiran ayah sehingga ayah sudah tidak pedulikan nenek.  Nenek mahu ibu tinggalkan ayah dan katanya kalau hari ini ibu tinggalkan ayah, esok nenek akan terus mencarikan isteri lain untuk ayah.  Aku lihat wajah ibu merah menahan perasaan. 

Tiba-tiba ibu seakan hilang pertimbangan, meluru keluar dengan pisau di tangan. Melihat ibu turun, Mak Su lari naik ke rumahnya.  Nenek juga lari.  Ibu memanggil nenek dan Mak Su supaya turun untuk membuat perhitungan.  Takutnya aku waktu itu. Jiran-jiran bersebelahan datang menyabarkan ibu.  Tidak lama kemudian ketua kampung datang dan cuba meleraikan keadaan.  Ayah yang sedang bekerja disuruh pulang.  Ibu mengemaskan pakaiannya dan menasihatkan aku supaya menjaga adik-adikku.  Bagi ibu, tiada kesudahannya hidup begini.  Ibu ingin pergi.  Dia hanya akan membawa adik yang kecil. Waktu itu kami hanya empat beradik. Aku menangis semahu-mahunya, tidak sanggup aku kehilangan ibu. 

Fikiran ayah tidak menentu.  Aku tahu ayah sayangkan emaknya tapi ayah tak sanggup bercerai kasih dengan isteri dan anak-anak.  Dalam deraian airmata, ayah memegang tangan ibu.  Kata ayah, biar apa pun yang terjadi kami tetap akan bersama.  Kami tinggalkan rumah sendiri dan hari itu juga ayah mencari rumah sewa untuk kami berteduh.  Nenek membisu tanpa kata, mungkin dia tidak menduga ayah akan bertindak begitu.  Hal itu menjadi bualan penduduk kampung.  Rata-rata menyalahkan nenek atas apa yang terjadi.

Tak sampai setahun kami menyewa, nenek datang lagi memujuk ibu dan ayah agar kembali.  Katanya dia menyesal atas tindakan yang dilakukan. Dia takkan mengulangi lagi perbuatannya.  Dia sudah tak lama lagi hidup di dunia.  Dia ingin dekat dengan anak-anaknya. Bukanlah semudah yang disangka.  Hati ibu sudah lama terluka.  Tapi nenek tetap memujuk.  Tak cukup dengan dirinya sendiri, nenek mengutuskan ketua kampung untuk melembutkan hati ibu. Ketua kampung berjanji akan masuk campur jika berlaku lagi perkara itu.  Katanya nenek telah berjanji akan mengubah perangai lamanya. Lagipun, rumah yang lama ditinggalkan akan reput dimakan anai-anai.  Kata-kata itu membuat ibu berfikir.  Gaji ayah dan ibu cukup-cukup makan sahaja.  Kalau tidak membuang duit untuk sewa rumah, banyak lagi yang boleh dilakukan dengan duit itu.  Kalau diikutkan hati ibu, dia tak ingin kembali lagi.  Apa yang terjadi cukup pedih untuk dihadapi.  Tapi sampai bila hendak menyewa ? Ayah cuba meyakinkan ibu.  Kata ibu, jika sekali lagi berlaku hal yang sama ibu akan pergi.  Tiada siapa yang boleh menghalangnya lagi.

Akhirnya, kami sekeluarga kembali jua.  Walaupun perang masih ada tapi tidaklah sehebat dulu. Nenek mungkin malu pada ketua kampung.  Apa yang terjadi agak memberi kesan padaku.  Paling membimbangkan, jika segalanya berulang lagi.  Aku bimbang ibu akan pergi.  Tapi ibu seakan dapat membaca fikiranku.  Setiap masa ibu memberikan kata-kata semangat dan tidak jemu memberi kekuatan kepadaku. Ibu mengharapkan aku akan menebus segala kepahitan silam.  Beratnya beban yang ibu letakkan di bahuku tapi aku berjanji pada diri sendiri aku akan tetap menggalas bebanan itu selagi aku termampu.  Akan ku sapu setiap titis airmata ibu yang telah tertumpah.

*******************************************************************************

Aku di tingkatan empat tika itu.  Di depan rumahku ada sebuah rumah sewa yang dihuni oleh beberapa orang pelajar lelaki tingkatan enam atas yang akan mengambil STPM.  Salah seorang dari mereka meminati Fira dan aku juga tidak terkecuali dari usikan mereka.  Setiap kali pergi dan balik sekolah, aku harus melalui jalan di hadapan rumah mereka.  Kalau boleh aku tidak ingin melalui jalan itu, tapi itulah satu-satunya jalan yang ada.  Setiap kali mereka menegurku, aku hanya tersenyum, tidak berani aku membalas teguran mereka. Tiba-tiba tersebar berita ke seluruh kampung yang aku berutus surat dengan Mat dan Maya yang menjadi posmennya.  Bila perkara itu sampai ke telinga ibu, aku dimarahi ibu.  Apalagi, suka lah hati nenek dan Mak Su melihat keadaan itu.  Dalam sindirannya, kata Mak Su, ‘eloklah tu, kakak bermain cinta, adik menjadi posmen. Aku, kalau Fira yang buat begitu, bukan saja marah malah dah pasti aku merotannya’.

Ibu tidak terburu-buru.  Maya ditanya tentang hal itu.  Mulanya Maya tidak mahu berkata benar tapi setelah didesak, Maya menceritakan sebenarnya dia memang menjadi posmen tapi posmen antara Fira dan Mat.  Kebetulan masa itu Maya baru menerima sepucuk surat untuk diserahkan kepada Fira.  Ibu tidak melepaskan peluang itu.  Ibu menyuruh Maya menyerahkan surat kepada Fira di hadapan Mak Su, biar mereka tahu hal sebenarnya. 

Seperti yang dijangkakan memang Mak Su terkejut dengan perkara itu.  Masa itu juga Pak su memanggil Mat untuk bersemuka dan bertanyakan hal sebenarnya.  Entahlah apa yang terjadi tapi setau aku tak adalah Fira kena rotan…. Yang aku tahu, Fira memusuhi Aku dan Maya…Bila cerita sebenarnya diketahui orang kampung, nenek dan Mak Su berkurung di dalam rumah, mungkin malu dengan apa yang terjadi.  Aku pula, memang berkecil hati tapi aku terima segala-galanya…

Selepas kejadian itu, aku seakan membenci penghuni di rumah sewa itu… kerana merekalah aku menjadi mangsa fitnah… tapi bila difikirkan kembali bukan salah mereka… berbalas surat bukannya salah…yang salahnya, orang yang menabur fitnah, siapa lagi kalau bukan nenekku sendiri….. Apa pun yang terjadi, aku masih mampu tersenyum… masih kedengaran panggilan nama ‘puteri’ gelaran yang diberikan oleh salah seorang dari mereka padaku.  Aku tidak pernah mengambil tahu siapa namanya…..

Suatu hari bila melintasi rumah itu, aku hairan rumah itu tertutup rapat.  Cuma yang ada tulisan yang ditulis dengan kapur tulis putih di dinding rumah itu… ‘Selamat tinggal puteriku.  Puteri ayu yang selalu mengepit buku dengan senyuman yang menambat hati abang…’ Aku tak tahu kenapa tiba-tiba aku merasa sayu, sebak membaca tulisan itu.  Rupanya mereka telah pergi.  STPM sudah berakhir dan mereka kembali ke rumah masing-masing…. Yang tinggal hanya secebis kenangan… 

*******************************************************************************

Dua orang cucu kesayangan nenek itu malas belajar, terkandas pada SPM.  Fiq agak bernasib baik kerana ayahnya tidak berputus asa mencari kabel untuk menempatkannya di Maktab Perguruan.  Ayahnya tauke ikan, kenalannya ramai.  Bila Fiq mendapat surat tawaran ke salah satu Maktab di Pulau Pinang, nenek mencanangkan ke seluruh kampung tentang kebijaksanaan cucu sulungnya itu.  Kenduri besar-besaran diadakan untuk meraikan kejayaan Fiq.

Aku pula, satu demi satu kejayaan ku ciptakan dan setiap kali itulah nenek semakin membenciku.  Aku tak kisah, yang penting aku dapat membahagiakan hati ibu. Dan aku tahu ibu paling bangga bila aku diterima melanjutkan pelajaran ke menara gading.  Waktu itu, tak ramai anak-anak kampung berjaya ke sana.  Mendengar perkhabaran itu, aku rasa neneklah manusia yang paling sakit hati terhadapku.  Sempat juga dia nyatakan ‘alah, orang perempuan tinggi mana pun belajar, ke dapur jugak akhirnya’.  Tak apalah nenek, sesungguhnya aku berterima kasih padamu kerana cacianmu lah membawa aku ke tahap ini.

*******************************************************************************

  

No comments:

Post a Comment