Sunday, June 19, 2011

Aku Ingin Kau Tahu

Dia tetap seperti dulu. Sifat pendiamnya itu membuatkan aku sendiri tidak tahu apa yang harus dibualkan dengannya. Sebenarnya aku pun begitu, mewarisi sifat pendiamnya itu. Aku tidak pandai memulakan bicara bila berada di kelompok kawan-kawan. Dan sememangnya aku tidak mempunyai ramai kawan. Yang ada hanya seorang dua teman rapat, tempat aku berkongsi masalah, di dalam suka mahu pun duka.

Tapi aku sangat menghormati dia. Dia sentiasa berusaha untuk memenuhi setiap keperluanku. Walaupun gajinya tidak seberapa, dia sanggup membuat pekerjaan lain selepas waktu bekerja untuk menampung kekurangan yang ada. Kalau anda sudah membaca entri awalku dulu "Secebis Kisah Kehidupan" anda akan lebih mengerti tentang kisah awal kehidupanku.

Ayah, sudah tercapai impianmu untuk melihat kejayaanku. Telah ku tebus segala kepahitan yang pernah kita rasakan dulu. Walaupun tidak berjawatan tinggi tapi aku mempunyai pekerjaan untuk menampung kehidupan. Kini, aku cuma mahu melihat kau bahagia dan hanya senyumanmu yang ingin kutatap. Sudah tiba masanya untuk kau berehat setelah bersusah payah membesarkan kami adik beradik.

Walaupun kelihatannya kami lebih rapat dengan ibu tetapi kasih sayang kami tidak pernah berbelah bagi. Cuma mungkin kerana ibu lebih banyak bicara, kami lebih senang berbincang dengan ibu. Lagipun, ayah tidak suka membuat sebarang keputusan selagi belum mendapat persetujuan ibu. Ayah lebih banyak mengalah demi menjaga keharmonian keluarga.

Sempena Sambutan Hari Bapa tahun ini, ketahuilah ayah bahawasanya anakmu ini sangat mengasihimu. Walaupun tidak banyak yang mampu aku bicarakan tapi aku ingin kau tahu betapa aku selalu merindukanmu  di kejauhan ini. Aku tetap mengingatimu...selalu... Selamat Hari Bapa, Ayah. Terima kasih atas segala pengorbananmu...

Friday, June 10, 2011

Maafkan Kesilapanku

Rupanya telah dua minggu dia memendam kemarahan itu. Sesungguhnya aku tidak tahu. Mungkin kerana aku tidak peka pada keadaan. Memang fikiran manusia tidak sama. Masing-masing ada pendapat sendiri. Betul pada kita, tak semestinya betul pada orang lain. Kebetulan aku ada perkara lain yang harus diberitahu kepadanya. Disebabkan masa itu cuti persekolahan, aku hanya menghantar mesej sahaja. Dan ini merupakan kesilapanku yang kedua. Ternyata tindakan ku itu menambahkan lagi kemarahannya.

Dia meminta aku menangguhkan dulu perancanganku. Aku yang masih tidak mengerti tentang keadaan itu, membuat temujanji untuk bertemu dengannya. Tapi sebenarnya dalam hatiku, aku dapat merasakan sesuatu. Pagi itu aku ke biliknya. Dia seperti biasa, dengan kesibukannya. Lima minit aku menunggu dia menyiapkan tugasnya sambil menunggu teman yang sepatutnya bersamaku menemuinya pada hari itu. Temanku itu sedang menyediakan surat-surat yang sepatutnya ditandatangani olehnya.

Dia  mula menyatakan apa yang terbuku di hatinya. Dia tanya apa kesalahan yang telah ku lakukan baru-baru ini. Serius, aku tak tahu. Bila dia terangkan, aku mula mengerti. Dia merasa aku mengenepikannya sebagai seorang ketua, membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepadanya. Pada aku, itu hanya aktiviti mingguan biasa. Cuma aku menyelitkan satu agenda yang dia rasa aku membelakangkannya. Salahnya aku kerana tidak memberitahu dia tentang perkara itu. Dan aku tidak menjemput dia bersama sedangkan aku mengundang semua pentadbir lain di pejabatnya. Tetapi sebenarnya hari itu memang dia tiada di sekolah. 

Apa yang mampu ku lakukan hanyalah meminta maaf. Aku tahu dia menegur untuk kebaikan. Aku memang menghormatinya sebagai seorang ketua cuma sebagai manusia, aku tidak terlepas dari membuat kesilapan. Aku harap setelah diluahkan, dia tidak menyimpan kemarahan itu lagi..Aku harap dia maafkan aku...

Wednesday, May 18, 2011

Terima Kasih Cikgu

Sambutan Hari Guru baru saja berlalu. Teringat aku pada guru yang pernah mengajarku dulu. Di sini ingin aku paparkan kisah kenapa aku tidak lagi membuka tudung bila kemana-mana. Semuanya kerana dia, dia seorang ustazah yang sudah lupa aku pada namanya tapi tetap kekal diingatanku.

Aku bersekolah di sekolah yang semua pelajarnya adalah perempuan. Waktu itu aku di Tingkatan Lima. Biasalah hujung-hujung tahun, hari-hari terakhir persekolahan...masing-masing nak tunjuk lawa. Aku tidak terkecuali, di sekolahku aku mendapat gelaran model kerana gaya jalan 'cat walk' ku itu.

Suatu hari, aku dan kawanku menghantar buku latihan ke bilik guru.. Saja menawarkan diri, sebenarnya nak ronda-ronda. Di bilik guru itu ada ustazah itu dan beberapa orang guru. Bila aku letakkan buku di atas meja yang kebetulan di sebelah mejanya, tiba-tiba dia memandang aku seperti sedang melihat sesuatu yang aneh.

"Lynn ke ni...hampir tak kenal cikgu...cantiknya Lynn ni bila tak pakai tudung..cantik betul la..!!!" matanya tak berkelip-kelip memandangku. Masa tu cikgu-cikgu lain yang ada di situ tersenyum-senyum memandangku. Aku mula serba salah, tak tau nak cakap apa. Hanya senyumana kelat yang mampu aku berikan. Cepat-cepat kami beredar dari situ. Bimbang banyak lagi yang akan dikatakannya.

Dia tak marah pun tapi kata-kata dan caranya itu cukup membuat aku terfikir. Betullah, kecantikan asli bukan pada paras rupa tapi dari hati. Cantiknya rupa hanya untuk dipandang tapi kecantikan hati budi itulah yang akan dikenang. Terima kasih cikgu kerana menyedarkanku...

Sunday, May 8, 2011

Maafkan Aku Ibu

Ibu, maafkan anakmu
Mungkin ada tingkah lakuku
Yang mengguris hatimu
Banyak yang ingin ku lakukan
Tapi tidak mampu aku laksanakan
       Aku ingin ibu mengerti 
       Keadaan yang sedang aku hadapi
       Kadang-kadang menyiksa diri
       Ada kalanya menangis sendiri
Dalam usiamu sekarang
Hanya anak-anak yang kau fikirkan
Tapi aku di kejauhan
Sibuk dengan pelbagai urusan
       Dalam setahun hanya sekali
       Bertemu ibu hanya beberapa hari
       Tapi kadang-kadang terjadi keadaan
       Tidak seperti yang diharap-harapkan
Bukan tiada rasa rindu
Hati meronta ingin bertemu
Terutama bila tiba hari ibu
Terasa ingin berada di sampingmu
       Aku ingin mendengar bicaramu
       Luahan juga keresahan hatimu
       Sepertimana waktu dulu
       Akulah pendengar setiamu
Ibu, anakmu ini akan terkilan
Jika tiba-tiba terjadi kehilangan
Takkan mampu ku terima kenyataan
Andai tak sempat ku baiki keadaan
      Ya Allah, berikanlah aku ruang
      Peluang dan juga sedikit kekuatan
      Untuk ku huraikan segala kekusutan
      Ku harap aku masih diberi kesempatan