Monday, October 11, 2010

Terima Kasih Atas Segalanya

(Entry ini berkaitan dengan entry "Suatu Ketika")

Hari pertama melangkah ke SMK Beringin, aku bersyukur sangat kerana sekolah ini dekat dengan rumahku.  Sekolah ini merupakan sekolah kedua tempat aku bertugas. Aku menghadiri mesyuarat pertama dan berkenalan dengan rakan-rakan baru. 

            Perasaan janggal tidaklah terasa sangat sebab di sini ada rakan lamaku semasa belajar di Universiti dulu.  Ada juga Lydia, kawan yang sama-sama buat praktikal di SMK Dedalu sebelum aku posting ke SMK Bidara. Dalam mesyuarat pertama itu aku cukup respect dengan Kak Nur.  Caranya bercakap dan memberikan hujah, aku rasa jauh sangat perbezaannya dengan aku.

            Sepatutnya aku mengajar di sebelah petang tapi aku berjumpa dengan Pengetua waktu itu, En. Karim agar mempertimbangkan permohonanku supaya aku ditempatkan di sebelah pagi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  Ada dua tugas mencabar yang aku pegang pada tahun pertama dan dalam kedua-dua jawatan itu, aku bekerja dengan Kak Nur.

            Banyak perkara aku belajar dari Kak Nur dan kami agak rapat kerana sering bekerja bersama.  Tahun kedua di SMK Beringin, aku dilantik menggantikan tugas Lydia, kawanku itu kerana dia mengambil cuti mengikuti suami yang bekerja di luar negara.  Dua tahun memegang jawatan itu, aku semakin respect pada keupayaan Kak Nur menguruskan berbagai aktiviti organisasi.

            Aku lupa tarikhnya tapi rasanya dua tahun selepas itu, Kak Nur menyatakan hasratnya untuk bertukar ke sekolah berhampiran dengan rumah barunya dan dia meminta aku bersedia memegang jawatan Ketua Organisasi X, menggantikan tempatnya.  Waktu itu aku merasa takut sangat. Aku rasa aku tak mampu memegang jawatan setinggi itu. Aku tak mampu menjadi seperti Kak Nur. Walau bagaimanapun, aku mula membuat persediaan. Aku mula meneroka tugas yang selama ini diuruskan oleh Kak Nur. Banyak perkara yang harus aku pelajari dan rujukan utamaku ialah pengalaman Kak Nur.

Bukan senang hendak menguruskan Organisasi X. Pening kepalaku memikirkannya.  Akhir tahun itu, apabila Pengetua memanggilku untuk menyerahkan jawatan Ketua, aku minta dikekalkan memegang tugasku yang dulu.  Sebaliknya aku memberi cadangan nama-nama guru lain yang terlibat dalam Organisasi X supaya mereka saja dilantik menjadi Ketua.

            Aku ingatkan aku dah selamat tapi selepas itu aku mendapat tahu pada tahun tersebut telah dibuat rombakan semula. Semua guru yang sebelum ini terlibat di dalam Organisasi X telah mendapat jawatan lain.  Hanya aku yang masih kekal di dalam Organisasi X dan akulah yang dilantik menjadi Ketua.  Terpaksalah aku menerimanya.

Pada awal tahun itu, seorang guru lelaki yang baru keluar Maktab Perguruan berpindah masuk ke SMK Beringin.  Kak Nur terus memberi cadangan kepada Pengetua supaya guru itu dilantik menggantikan tugasku dulu, sesuai dengan opsyennya. Cadangan itu diterima, jadi secara rasmi Amir dilantik memegang jawatan itu.

Agak lama juga Kak Nur menunggu proses kelulusan pertukarannya tapi seingat aku akhir Januari tahun seterusnya barulah dia berpindah.  Sementara dia masih berada di sini aku tidak melepaskan peluang untuk bertanya pelbagai perkara mengenai Organisasi X.  Sebenarnya walaupun Amir telah dilantik, aku masih menguruskan kerjaku yang dulu. Masih membuat dua kerja dalam satu masa. Mungkin sebab Amir baru, banyak perkara yang dia perlu belajar.  Lagi pun, dia lebih banyak terlibat dengan aktiviti kokurikulum.  Aku sendiri segan untuk mendekatinya. 

Masa tu, tidak ramai guru dan murid yang datang ke bilik khas Organisasi X.  Keadaannya suram.  Aku rasa aku perlu berbuat sesuatu,  aku perlu menukar imej bilik itu.  Aku banyak menghabiskan masaku di bilik itu, jarang aku balik awal ke rumah.  Sedikit demi sedikit aku ceriakan bilik itu dan aku melakukannya sendirian walaupun sebenarnya ada lagi guru lain yang menjadi AJK ku dan juga tidak kurang pelajar-pelajar yang ditugaskan untuk membantu organisasi tersebut. Salahku sendiri kerana tidak pandai menjadi pemimpin.

Hari terakhir Kak Nur berada di SMK Beringin, perasaan sedih dan takut berbaur dalam hatiku.  Sedih akan kehilangannya dan takut jika aku tidak dapat mengendalikan Organisasi X dengan baik.  Kak Nur dah pergi, pada siapa nak bertanya lagi. Tapi, walau macam mana takut pun, aku harus teruskan. Ini tugas yang diamanahkan, ini tanggungjawabku. Aku akan memikulnya, aku akan menghadapinya dengan caraku sendiri.

Bilik itu sudah agak berubah keadaannya.  Kalau selama ini pelajar-pelajar dan guru-guru jarang ke bilik itu, sekarang semakin ramai pengunjung.  Selepas En. Karim bersara, tiba pula pengetua baru, Pn. Sofea.  Bila dia ke bilik ku, komennya “bilik buruk”.  Aku rasa telah banyak yang ku lakukan tapi nampaknya masih tidak memuaskan hatinya.  Komennya itu sentiasa terngiang-ngiang di telinga. Bagi ku, ia komen yang membina.  Tunggu, akan ku buktikan….

            Sedikit demi sedikit kerja yang sepatutnya Amir lakukan, aku serahkan kepadanya.  Sedikit demi sedikit aku mengajarnya, sehingga dia faham apa yang sepatutnya dilakukan.  Kerana urusan kerja, aku  semakin rapat dengannya.  Aku mula mengenalinya.  . 

Kami selalu berbincang untuk kebaikan organisasi.  Perkara pertama yang ingin kami lakukan ialah menaiktaraf bilik itu.  Takut juga bila memikirkan ia melibatkan wang yang banyak dan masa yang lama.  Sebenarnya sudah lama Kak Nur dan aku ingin lakukan perkara yang sama dulu tapi masing-masing tiada keberanian.  Tapi melihat keyakinan dan kesungguhan Amir, aku jadi berani. 

            Bermacam-macam kritikan yang aku terima dari guru-guru lain bila tiba-tiba kontraktor  menghilangkan diri.  Proses pembinaan terhenti seketika.  Aku risaukan keselamatan barang2 yang berada di dalam bilik itu.  Aku sendiri merasa bimbang bila Amir seakan-akan tidak mempedulikan perkara itu.  Aku hilang kepercayaan kepadanya.  Aku menyesal mendengar kata-kataya, menerima cadangannya.  Aku mula hilang arah.  Apa yang harus aku lakukan?  Macammana aku nak berhadapan dengan Pengetua ?

            Rupanya dalam waktu yang sama Amir sedang berusaha mencari kontraktor baru bila dia sedar keadaan yang berlaku. Dia tidak lepas tangan begitu saja. Proses pembinaan berjalan semula. Sepanjang waktu itu, Amir datang ke sekolah tak kira masa, kadang-kadang dari petang membawa ke malam, kadang-kadang hari minggu pun tetap di sekolah.  Semata-mata untuk memastikan segalanya berjalan lancar.  Untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi.

            Hari terakhir pembinaan itu dijalankan, aku dan Amir berada di sekolah untuk memeriksa kerja-kerja kontraktor, kalau-kalau masih ada yang perlu diperbetulkan.  Sampai jam tujuh malam kami di situ.  Kerja terakhir yang dilakukan ialah memasang roller shutter.  Bila shutter itu ditarik, bunyinya yang kuat menyentap sehingga ke jantungku. 

Akhirnya, tercapai juga impianku untuk melihat bilik itu berubah wajah.  Teringat kritikan kawan-kawan dan paling menyentuh perasaanku ialah pandanganku sendiri terhadap Amir. Aku merasa bersalah sangat kepadanya.  Kenapalah aku lebih mendengar kata orang lain yang tiada kena mengena dengan organisasi itu daripada orang yang ikhlas ingin membantuku, orang yang sama-sama berpenat lelah untuk melihat kejayaan organisasi yang diamanahkan.  Jahatnya aku…

Hari berganti hari, masa berganti masa.  Aku dan Amir berganding bahu menguruskan program dan aktiviti organisasi. Kami harungi segala kepayahan. Kami hadapi segala cabaran. Kami saling melengkapi, saling menguatkan.  Dan kini, Organisasi X tidak lagi dipinggirkan.  Ia mula mendapat perhatian.

Sebenarnya, kehadiran Amir banyak memberi kesan dalam hidupku. Dia selalu menguatkan semangat dan mengembalikan kekuatan di saat aku hampir tenggelam menahan segala kata yang menyakitkan.  Kalau dulu aku kurang keyakinan diri, sekarang aku menjadi berani.  Penampilanku juga berubah. Kawan-kawan pun sedar dengan perubahan diriku.  Aku sendiri tidak menyangka apa yang tidak mampu aku lakukan dulu, boleh aku lakukan sekarang.  

Amir seorang guru yang hebat.  Dia berkebolehan dalam banyak bidang.  Dia disenangi pelajar-pelajarnya. Tapi di dunia ini tiada manusia yang sempurna.  Sebagaimana aku boleh menerima segala kelebihannya, aku juga terima segala kekurangannya. Aku menganggap Amir sebagai adikku sendiri.  Aku tidak kisah apa pun yang orang lain katakan tentang Amir.  Aku lebih mengenalinya.  Terima kasih Amir….

4 comments:

  1. salam..
    Terkadang kita sebagai manusia cepat menilai org lain walaupun belum mengenalinya secara dekat..hati budinya dan paling penting keikhlasannya dan bukan pada paras rupa.

    ReplyDelete
  2. Begitulah sikap manusia. Dlm kesusahan, kadang2 kita cepat melatah tetapi Allah tidak pernah meninggalkan kita sendirian. Dia membantu kita dlm berbagai keadaan, kadang2 tanpa kita sedari...

    ReplyDelete
  3. ni kisah novel atau kisah benar?

    ReplyDelete
  4. Ianya sebuah kisah benar tetapi nama-nama yang terlibat telah diubah...

    ReplyDelete